SETIAUSAHA politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador direman empat hari bagi siasatan kes video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.
Peguam Baldip Singh berkata seorang lagi yang ditahan bersama Farhash di Johor Bahru semalam turut direman empat hari manakala seorang lagi individu dibebaskan.
Baldip berkata majistret hanya membenarkan polis menahan Farhash yang juga ketua PKR Perak itu selama empat hari selepas bantahan peguam.
“Pagi tadi Farhash dan dua lagi individu telah di bawa ke IPD Dang Wangi untuk permohonan reman kes penyiasatan.
“Kami pihak peguam bantah permohonan reman pihak polis selama tujuh hari dan minta Farhash dibebaskan.
“Namun selepas mendengar hujah, majistret membenarkan hanya empat hari reman,” kata Baldip yang juga naib pengerusi PKR Perak kepada The Malaysian Insight.
Baldip turut mempersoalkan tindakan polis menahan Farhash tanpa bukti yang kukuh untuk mengaitkannya dengan video seks Haziq.
Katanya, polis memberi alasan penahanan itu untuk menyiasat pengakuan bekas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abul Aziz sebagai pelaku dalam video seks yang dikaitkan Azmin itu.
“Semasa permohonan reman mereka gagal memberitahu Mahkamah Majistret mereka mempunyai bukti dan asas siasatan.
“Alasan pihak polis ialah siasatan berdasarkan laporan Haziq pada bulan Jun lalu dan pengakuan Haziq dialah pelaku dalam video seks. Atas alasan itu mereka sahaja.
“Mereka tiada bukti Farhash ada kaitan dengan video. Tiada alasan untuk menahan mereka,” kata Baldip lagi.
Farhash turut diwakili empat peguam lagi iaitu Harjit Singh, SS Gill, dan Khairul Anuar Musa.
Farhash merupakan antara tiga individu berusia 29 hingga 37 tahun yang ditahan di sekitar Johor Bahru kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Pada Ahad lalu, Haziq Abdullah serta lima lagi lelaki di sekitar Lembah Klang dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Polis turut merakam keterangan timbalan menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 14 Jun lalu berhubung kes tersebut.– 17 Julai, 2019.
Setpol Anwar direman 4 hari kes video seks Haziq
Komen