LEMBAGA Eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan memulakan proses memilih pengarah urusan baharu, ekoran peletakan jawatan Christine Lagarde berkuatkuasa 12 September 2019, lapor agensi berita Xinhua.
Dua minggu lalu, Lagarde dicalonkan sebagai presiden Bank Pusat Eropah (ECB), sebagai sebahagian perjanjian kepemimpinan Kesatuan Eropah (EU) demi masa depan institusi terkemuka EU itu. Justeru, beliau memutuskan untuk melepaskan jawatannya dalam IMF sepanjang tempoh penamaan.
“Saya mengambil keputusan itu untuk kebaikan kerana ia akan mempercepat proses pemilihan bagi mencari pengganti saya,” kata Lagarde dalam kenyataan dikeluarkan pada Selasa.
Sementara itu, Lembaga Eksekutif IMF mengesahkan menerima peletakan jawatan beliau berkuat kuasa 12 September 2019.
“Kami ingin merakamkan penghargaan di atas apa yang telah beliau lakukan selama ini,” kata Lembaga Eksekutif IMF dalam satu kenyataan.
Jawatan ketua IMF secara tradisinya dipegang orang Eropah sementara ketua Bank Dunia pula orang Amerika, suatu pengaturan tidak formal yang telah menjadi amalan sejak lebih tujuh dekad.
Lagarde, 63, warga Perancis menjadi wanita pertama mengetuai ECB. Beliau menggantikan Mario Draghi, yang tempoh lapan tahunnya berakhir 31 Oktober.
“Saya tidak sabar untuk kembali ke Eropah, saya akan menumpukan sepenuh perhatian kepada misi baharu saya di Bank Pusat Eropah, tidak seperti IMF, nilai kecemerlangan intelektual yang tinggi, integriti penyelidikan dan analisis, kebebasan dan komitmen yang tinggi terhadap perkhidmatan awam,” kata Lagarde.
Pada 5 Julai 2011, Lagarde memegang portfolio pengarah urusan IMF ke-11, wanita pertama menyandang jawatan ini. Sebelum menyertai IMF, Lagarde berkhidmat sebagai menteri kewangan Perancis dari 2007 hingga 2011. – Bernama, 17 Julai, 2019.
Komen