URSULA von der Leyen dari Jerman pada Selasa dipilih sebagai presiden Suruhanjaya Eropah selepas menang dengan majoriti tipis, lapor agensi berita Xinhua.
Beliau melakar sejarah tersendiri apabila muncul wanita pertama memegang jawatan ketua eksekutif di Kesatuan Eropah (EU). Majoriti tipis berkenaan dilihat membantu mencegah krisis politik ke atas blok perdagangan terbesar dunia itu.
Daripada 733 undian oleh ahli Parlimen Eropah, beliau meraih 383 undi, hanya lebih sembilan undi daripada 374 jumlah majoriti. Jika keputusan itu ditolak 28 kerajaan yang membentuk EU, Brussels pasti berdepan krisis politik perlembagaan.
Ibu kepada tujuh orang anak itu merangkap menteri pertahanan wanita pertama di Jerman berkata, beliau akan meletakkan jawatannya dan mengucapkan terima kasih kepada semua.“Tugas getir menunggu saya di hadapan. Tanggungjawab besar menanti dan tugas saya bermula sekarang,” ujarnya.
Von der Leyen dilahir dan dibesarkan di Brussels, Belgium, tempat bapanya pernah berkhidmat sebagai pegawai kanan di EU. Apabila mengangkat sumpah jawatan pada November depan, beliau akan mengawal selia 32,000 kakitangan di tempat kelahirannya itu di samping mewakili 500 juta pegangan ekonomi dunia.
Selain pakar sakit puan terlatih beliau juga fasih berbahasa Inggeris, Perancis dan Jerman, pernah berucap dalam tiga bahasa di hadapan ahli parlimen EU pada hari terakhir kempennya. – Bernama, 17 Julai, 2019.
Komen