Diasak bertalu-talu, saksi kes Kim Jong-nam gelabah jawab peguam


Muzliza Mustafa

Peguam mewakili Doan Thi Huong, Hisyam Teh Poh Teik di Mahkamah Tinggi Shah Lama hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 2 Oktober, 2017.

SAKSI pertama kes pembunuhan Kim Jong Nam, Lans Korporal Zulkarnain Sanudin memberi jawapan agak tidak konsisten ketika disoal balas peguambela kedua-dua tertuduh berkenaan kejadian yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Zulkarnain merupakan anggota polis yang bertugas sebagai pegawai rondaan di lapangan terbang itu merupakan individu pertama yang bertemu Kim Jong Nam selepas beliau didakwa “disapu” ejen saraf VX oleh kedua-dua suspek pembunuhan itu.

Beliau memberitahu mahkamah beliau membawa Kim ke klinik selepas mangsa mengadu tidak dapar melihat.

Peguambela warga Vietnam Doan Thi Huong, Hisyam Teh Poh Teik bertanya mengapa maklumat itu tidak dimasukkan ke dalam laporan polis selepas menghantar mangsa ke klinik.

Zulkarnain bagaimanapun berkata maklumat itu “tidak cukup penting” untuk dimasukkan.

Respon itu menjadikan Zulkarnain sasaran peguambela yang mempersoalkan adakah beliau “diajar” menjawab demikian oleh pihak pendakwaan kerana mampu mengingati perkata “tidak penting” dan tanpa mencatatnya di mana-mana sebelum muncul di mahkamah hari ini.

Zulkarnain turut memberi jawapan tidak konsisten bila ditanya bagaimana beliau mendapat maklumat daripada saksi.

Dalam satu soalan, beliau menyatakan mendapat maklumat menerusi sekeping pasport yang diberikan kepada beliau daripada seorang pembantu klinik.

Dalam satu lagi respon, beliau memberitahu mahkamah yang beliau mendapat pasport mangsa dengan memeriksa beg sandang si mati.

Hakim Azmi Ariffin turut beberapa kali membantu Zulkarnain apabila beliau dilihat agak keliru dan tidak memahami soalan yang diberikan.

Zulkarnain turut menyatakan beliau langsung tidak mendapat kesan atau sakit walaupun bersama dengan Kim sejurus selepas si mati terdedah kepada gas beracun tersebut.

Beliau turut menyatakan beliau tidak dapat mengenal pasti cecair di muka si mati walaupun berada di kedudukan amat dekat dengannya.

Saksi kedua, Juliana Idris yang bekerja di kaunter informasi klia2 hanya mampu memberi sedikit maklumat.

Menurut beliau, Kim datang ke kaunternya mengadu mukanya ditekup dengan kain basah oleh dua wanita yang tidak diketahui bangsanya.

Beliau tidak bertanya lanjut sebelum menghubungi Zulkarnain untuk membawa Kim membuat laporan polis.

Mahkamah berhenti rehat pada jam 12:45 tengah hari dan bersambung jam 2 petang.

Siti Aisyah dan Doan nampak tenang sepanjang sesi berjalan. Perbicaraan dijalankan dalam bahasa Malaysia. – 2 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen