Pembangkang dakwa speaker Dewan Rakyat berat sebelah


Ragananthini Vethasalam Zaim Ibrahim

Ketua Pembangkang Ismail Sabri berkata Speaker Mohamad Ariff Md Yusof berat sebelah dalam mengenakan tindakan kepada ahli Dewan Rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 17 Julai, 2019.

PEMBANGKANG mendakwa Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof bersikap berat sebelah kerana tidak mengenakan tindakan kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri berkata Lim perlu dibawa ke jawatankuasa hak dan kebebasan kerana beberapa kali mengelirukan Dewan.

Katanya Lim mendakwa kerajaan BN merompak wang kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST), tetapi Ariff juga tidak pun mengarahkan menteri itu memohon maaf.

“Kita berkompromi dengan tidak perlu rujuk (ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan) dengan syarat YB Bagan minta maaf dan tarik balik tuduhan di dalam Dewan tapi tidak berlaku.

“Speaker tidak arah YB Bagan untuk meminta maaf,” katanya, merujuk ucapan Lim tahun lalu di Dewan Rakyat mendakwa kutipan GST sebanyak RM19.4 bilion “dirompak” kerajaan BN.

Ismail berkata speaker juga berat sebelah kerana menggantung keahlian Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman selama empat hari atas kenyataan berhubung kehadiran menteri ke Dewan Rakyat.

Selain itu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary juga diarah keluar Dewan selama sehari kerana menggunakan perkataan “pondan” dalam ucapan, katanya.

Pembangkang mendesak Lim dikenakan tindakan kepada jawatankuasa kira-kira Dewan Rakyat mendapati wang itu tidak dirompak, sebaliknya dimasukkan ke akaun lain.

Peguam Negara Tommy Thomas bagaimanapun menyifatkan tindakan itu sebagai satu kesalahan kerana wang berkenaan sepatutnya dimasukkan ke akaun kutipan GST.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin pula berkata, wang tunai berjumlah RM19. 4 billion dimasukkan ke akaun yang disatukan merupakan proses aliran wang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 17 Julai, 2019.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin pula berkata, wang tunai berjumlah RM19. 4 billion dimasukkan ke akaun yang disatukan merupakan proses aliran wang.

“Duit itu lebih baik digunakan untuk pembangunan dan pentadbiran kerajaan yang lain. Itu adalah pengurusan aliran wang.

“Dalam akta Menteri kewangan boleh keluarkan duit GST dan dimasukkan ke akaun yang disatukan untuk dibelanjakan. Itu yang berlaku dan ia bukan jenayah,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan berkata, kenyataan Lim Guan Eng ternyata salah kerana laporan PAC membuktikan tiada wang yang dirompak.

“Speaker tidak membacakan satu perenggan yang penting dalam rumusan laporan PAC. Dalam muka surat 50 perenggan yang keempat, baris pertama tiada kehilangan wang dalam kutipan wang hasil GST,” katanya. – 17 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen