Kerajaan Australia seru China benarkan anak Australia-Uighur tinggalkan negara


Sadam Abdusalam telah berkempen selama berbulan-bulan sehingga isterinya Nadila Wumaier dan anak mereka yang tidak pernah bertemu boleh datang semula ke Australia. – Gambar AFP, 17 Julai, 2019.

KERAJAAN Australia hari ini menyeru China agar membenarkan anak kelahiran Australia dan ibu Uighur meninggalkan negara itu susulan tekanan terhadap Beijing selepas Canberra menandatangani surat mengutuk pelakuan minoriti Muslimnya.

China telah mengumpulkan kira-kira sejuta rakyat Uighur dan sebahagian besar Muslim minoriti berbahasa Turki ke kem pendidikan semula di rantau Xinjiang yang dikawal ketat di barat laut negara berkenaan.

Canberra pada mulanya menafikan kewarganegaraan bayi Lutifeier yang dilahirkan di Xinjiang pada Ogos 2017.

Bapa bayi berkenaan merupakan seorang warga Australia dan ibunya Uighur tetapi telah meninggalkan negara itu pada tahun lalu.

Bapanya Sadam Abdusalam telah berkempen selama berbulan-bulan sehingga isterinya Nadila Wumaier dan anak mereka yang tidak pernah bertemu boleh datang semula ke Australia.

Pada Rabu Menteri Luar Negeri Marise Payne berkata, Kedutaan di Beijing secara rasmi meminta agar pihak berkuasa China membenarkan Wumaier dan anaknya yang merupakan warganegara Australia untuk pulang ke negara kelahirannya.

Kenyataan itu dibuat selepas Abdusalam berkongsi penderitaannya secara terbuka untuk pertama kalinya kepada ABC broadcaster nasional Isnin lalu.

Beliau memberitahu AFP bahawa isterinya dibawa masuk untuk disoal siasat oleh pihak berkuasa China pada hari berikutnya kemudiannya dibebaskan.

Canberra secara tradisinya mahu mengelak berlaku perbalahan dengan rakan dagangannya yang terbesar tetapi ketegangan antara kedua-dua negara telah meningkat berikutan kebimbangan keselamatan dan kehadiran Beijing di Pasifik.

Australia antara 22 negara bersama Britain, Kanada dan Jepun minggu lalu menulis kepada pegawai tertinggi PBB yang mengutuk pelakuan China terhadap etnik minoriti.

Kedutaan China di Australia menyelar program ABC sebagai “penuh dengan kebohongan, penyelewengan dan kecenderungan”.

Abdusalam berkata beliau sangat gembira dengan tindakan Australia tetapi meminta pegawai untuk melakukan tindakan yang lebih banyak. – Bernama, 17 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen