TIADA rancangan untuk memperkenalkan cukai warisan dalam bajet tahun depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
“Kerajaan faham bahawa cukai warisan lebih drastik dan oleh itu menolaknya tahun lalu.
“Tidak ada rancangan untuk memperkenalkan cukai itu dalam Bajet 2020,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Lim menjawab soalan tambahan Ahmad Hamzah (Jasin-BN) yang bertanya tentang kesan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) terhadap pelaburan hartanah di Malaysia.
Ahmad juga bertanya sama ada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mempertimbangkan hartanah yang dibeli pada 1990 tetapi dinilai pada harga 2000 ketika membuat keputusan berkenaan RPGT yang perlu dibayar oleh vendor.
Lim berkata pemilik hartanah hanya perlu membayar 5% RPGT bagi hartanah dinilai pada harga tahun 2000.
Sementara itu, Lim memberitahu Parlimen kerajaan mengutip RM91.87 juta RPGT daripada pelupusan 4,524 hartanah sejak diperkenalkan semula tahun ini.
“Kerajaan mengutip RM60 juta RPGT daripada 553 pelupusan oleh syarikat, RM29 juta daripada 3,760 pelupusan oleh rakyat Malaysian dan RM2 juta daripada jualan oleh warga asing,” katanya.
Kadar RPGT untuk syarikat dan warga asing naik daripada 5% kepada 10% sementara rakyat Malaysia perlu membayar 5% bagi keuntungan jualan hartanah lima tahun ke atas.
Lim juga memberitahu Parlimen bahawa kerajaan belum memutuskan sama ada RPGT akan diguna pakai bagi jualan hartanah komersial.
“Kami masih mengkajinya untuk Bajet 2020.” – 17 Julai, 2019.
Komen