10 maut bangunan runtuh di Mumbai


Pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa runtuhan bangunan di Mumbai, India yang mengakibatkan 10 maut. Sekurang-kurangnya 10 orang masih terperangkap. – Gambar EPA, 17 Julai, 2019.

SERAMAI 10 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 10 yang lain dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan selepas sebuah bangunan runtuh semasa hujan lebat yang melanda ibu negara India di Mumbai pada Selasa, kata pihak berkuasa.

Ia merupakan tragedi kedua dalam tempoh dua minggu ini.

Hujan lebat yang turun tanpa henti memusnahkan kediaman, tanah runtuh dan mengorbankan sekurang-kurangnya 180 nyawa di Asia Selatan.

“Sepuluh mayat ditemui dan sembilan orang yang cedera dihantar ke hospital,” kata jurucakap pengurusan bencana, Tanaji Kamble kepada AFP mengenai keruntuhan bangunan di kawasan Dongri di selatan Mumbai.

“Operasi penyelamatan akan diteruskan sehingga semua yang terperangkap di bawah runtuhan itu diselamatkan. Lebih 10 orang masih terperangkap.”

Dua pasukan daripada Pasukan Tindak Balas Bencana Nasional (NDRF) India serta sukarelawan tempatan, jabatan bomba dan polis berusaha mengeluarkan mangsa runtuhan.

Sukarelawan dapat dilihat mengeluarkan barangan rumah termasuk perabot daripada runtuhan.

“Keruntuhan bangunan kedengaran seperti gempa bumi dan kami bergegas ke tempat kejadian untuk melihat bunyi kuat itu,” kata penduduk tempatan memberitahu saluran berita NDTV India.

Seorang lagi penduduk berkata bangunan itu didiami 10 keluarga walaupun keadaannya usang, manakala Syed Abdullah, yang juga tinggal di kawasan itu berkata “terdapat empat hingga lima keluarga” di tingkat pertama.

“Tiga perempat bangunan runtuh,” katanya.

Perdana Menteri Narendra Modi menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Awal bulan ini, 29 orang maut apabila tembok runtuh di bandar.

Kejadian bangunan di Mumbai mempunyai 20 juta penduduk adalah biasa terutama semasa musim tengkujuh kerana strukturnya yang tidak kukuh. – AFP, 16 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen