Monsun, hujan lebat lumpuhkan negara Asia Selatan


Di Nepal, sekurang-kurangnya 78 maut dan 16,000 keluarga hilang tempat tinggal, walaupun air bah mulai surut. – Gambar AFP, 17 Julai, 2019.

HUJAN lebat menenggelamkan rumah dan menyebabkan tanah runtuh di seluruh Asia Selatan semalam, dengan jutaan orang terjejas dan sekurang-kurangnya 180 mati, kata pihak berkuasa.

Musim monsun sangat kritikal menjejaskan bekalan air bawah tanah di wilayah miskin, dan mengharapkan musim panas datang bagi memulihkan keadaan.

Hujan lebat yang biasanya dari Jun hingga September, sekali lagi menyebabkan banjir di seluruh India, Nepal, Bangladesh dan Pakistan.

Manusia, bangunan dan bot di kawasan rendah dan terpencil dihanyutkan air.

Di Mumbai, bangunan runtuh di kawasan padat penduduk menyebabkan 10 terbunuh, susulan hujan lebat di bandar itu.

Hampir satu pertiga Bangaldesh – negara yang berselirat dengan ratusan sungai di sekelilingnya – tenggelam, kata jurucakap pusat amaran dan kaji cuaca Arifuzzaman Bhuyan.

Sekurang-kurangnya 14 sungai utama termasuk Brahmaputra melimpah dan naik ke paras bahaya.

Jumlah kematian akibat banjir di negara-negara ini mencecah 34 orang termasuk lima kanak-kanak lemas, 18 dipanah petir dan tujuh lemas selepas bot mereka terbalik di Teluk Bengal.

Di Nepal, sekurang-kurangnya 78 maut dan 16,000 keluarga hilang tempat tinggal, walaupun air bah mulai surut.

Hampir 50 maut di India, dengan dua negeri di timur – Assam dan Bihar yang bersempadan dengan Nepal teruk terjejas.

Pihak berkuasa Assam mengisytiharkan amaran merah pada Isnin apabila situasi banjir menjadi makin kritikal dengan lebuh raya utama tenggelam.

Setakat ini 11 maut di negeri dan 83,000 lagi hilang tempat tinggal.

Di Bihar, 25 kematian dilaporkan dan 2.5 juta penduduk terjejas.

Di Pakistan, banjir kilat menyebabkan 23 maut dan merosakkan 120 rumah.

Semua bekalan air dan elektrik lumpuh. – AFP, 17 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen