Isu Rohingya, ketua tentera Myanmar diharamkan masuk AS


Ketua tentera Myanmar Min Aung Hlaing dan tiga yang lain disekat daripada memasuki Amerika Syarikat susulan pembabitan mereka dalam pembersihan etnik terhadap Rohingya. – Gambar AFP, 17 Julai, 2019.

AMERIKA Syarikat (AS) semalam melarang kunjungan ketua tentera Myanmar dan tiga lagi pegawai kanan susulan peranan mereka dalam “pembersihan etnik” terhadap masyarakat Rohingya.

Jabatan Dalam Negeri berkata ia bertindak terhadap ketua tentera Min Aung Hlaing dan yang lain selepas menemui bukti kukuh pembabitan mereka dalam keganasan dua tahun lalu hingga menyebabkan 740,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

“Dengan pengumuman ini, AS kerajaan pertama secara terbuka mengambil tindakan terhadap kepimpinan paling kanan dalam tentera Burma,” kata Setiausaha Negara AS Mike Pompeo.

“Kami masih bimbang apabila kerajaan Myanmar masih tidak mahu bertanggungjawab dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar hak asas manusia.

“Malah, laporan tentang tentera Myanmar melakukan pelanggaran hak asasi manusia dan penderaan di seluruh negara, masih terus diterima,” katanya dalam satu kenyataan.

Sekatan itu tanda paling jelas kekecewaan AS terhadap Myanmar. Sebelum ini ia dikenali sebagai Burma, tetapi diubah kepada Myanmar selepas pelancaran perubahan politik pada 2011, dengan junta tentera berbaik-baik dengan Washington. – AFP, 17 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen