Kerana skandal udang kara, menteri Perancis letak jawatan


Menteri Alam Sekitar Perancis Francois de Rugy meletak jawatan semalam selepas tertekan dengan kecaman susulan menganjurkan makan malam mewah dengan deretan udang kara, didakwa menggunakan wang pembayar cukai. – Gambar AFP, 17 Julai, 2019.

SEORANG menteri Perancis dan sekutu rapat Presiden Emmanuel Macron meletak jawatan semalam selepas satu laporan menuduhnya menganjurkan makan malam udang kara yang mewah menggunakan wang kerajaan dan menyalahgunakan sistem perumahan awam.

Francois de Rugy, yang dilantik sebagai menteri alam sekitar pada September 2018, mengumumkan peletakan jawatannya seminggu selepas isu makan malam itu didedahkan di laman web berhaluan kiri Mediapart.

“Serangan itu dan media menyasarkan keluarga saya memaksa saya mengambil tindakan perlu untuk meletak jawatan,” katanya, yang turut memegang jawatan menteri dalam negeri yang menjadikannya di kedudukan kedua dalam kerajaan selepas Perdana Menteri Edouard Philippe.

Menteri Pengangkutan Elisabeth Borne dilantik sebagai menteri alam sekitar baharu semalam, menurut Istana Elysee.

De Rugy dikecam orang ramai selepas Mediapart menyiarkan gambarnya dan isterinya yang juga seorang wartawan sedang menikmati makan malam mewah, champagne dan udang kara pada Hari Valentine, ketika beliau masih speaker Parlimen pada 2017 dan 2018.

Laman web itu mendakwa acara berkenaan yang menggunakan wang pembayar cukai adalah majlis sosial, tetapi de Rugy berkata ia adalah sebahagian tugasnya mewakili Dewan Negara.

Mediapart turut mendedahkan de Rugy mendapat faedah daripada sebuah pangsapuri berhampiran kampungnya Nantes di barat Perancis yang disewakan pada kadar istimewa, dan sepatutnya untuk pekerja berpendapatan rendah.

Satu lagi laporan menyebut tentang pengering rambut bernilai 500 euro yang dibeli oleh isteri de Rugy menggunakan wang awam, dan kerja pengubahsuaian pangsapuri kerajaan kediaman mereka pada kos 63,000 euro.

Tetapi gambar sederet udang kara besar atas pinggang pada satu acara yang dianjurkan de Rugy itu menjadi penyebab kehancuran politiknya – dan mewujudkan banyak meme media sosial – di negara yang masih bergelut dengan protes “jaket kuning” sejak berbulan yang lalu.

De Rugy menafikan semua salah laku itu, malah dalam satu temu bual minggu lalu, beliau mendakwa alah terhadap udang kara dan tidak suka champagne kerana ia menyebabkannya sakit kepala. – AFP, 17 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen