RAKYAT yang mendukung demokrasi bermaruah tidak akan sanggup melihat politik seks dan konspirasi pengkhianatan digunakan dalam perebutan kuasa.
Rakyat yang telah memilih pemimpin dan kerajaan. Pastilah rakyat juga yang akan mempertahankan kemurnian demokrasi yang menjadi teras pembinaan Malaysia Baharu sejak 9 Mei tahun lalu.
Sekiranya konspirasi politik diatur menyamai gaya hidup kumpulan jenayah terancang, rakyat pasti kecewa. Mana mungkin kehidupan politik sama seperti modus operandi mafia.
Bukan rahsia lagi, isu video seks yang ditular pada 11 Jun lalu, satu konspirasi jenayah terancang. Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan, bukti siasatan awal mendapati, ada kecenderungan penyebaran video itu membabitkan ahli politik dan pimpinan NGO.
Pengakuan Hazriq Abdullah Abdul Aziz bahawa dirinya dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali sebagai pasangan pelaku dalam tiga versi aksi video lucah homoseksual itu, mengejutkan masyarakat.
Selebihnya rakyat berasa malu, kerana konspirasi seks yang jijik menjadi sebahagian cara politik kotor era Malaysia Baharu.
Hamid pada 13 Julai lalu mendedahkan polis bersedia untuk memulakan siri tangkapan terhadap suspek konspirasi penyebaran video itu.
“Kita sudah mempunyai bayangan kepada dalang utama dan akan mengambil tindakan terhadapnya sebaik siasatan dilengkapkan, selain bukti-bukti kukuh diperoleh, ” kata Hamid.
Dua hari kemudian, Isnin 15 Julai, Haziq bersama lima yang lain direman enam hari bagi membantu siasatan kes video seks yang menggemparkan ini.
Menurut polis, siasatan bawah Seksyen 292A Kanun Keseksaan. Seksyen itu berkaitan pengedaran bahan lucah.
Sekiranya disabit bersalah, boleh dihukum sehingga tiga tahun penjara, denda atau kedua-duanya.
Haziq mengaku menjadi pelaku dalam video itu tetapi Azmin menafikan beliau terlibat.
Jahil orang politik sangat menyedihkan
Orang politik menyebut diri mereka pemimpin. Dalam cakap mudah: mereka mengakui mengetuai pengikut. Lagi mudah – mereka mengepalai konvoi barisan depan politik negara. depan politik negara.
Dalam bahasa lebih luas – ahli politik menjadi pemimpin rakyat, sekali gus wajah negara di peringkat dunia.
Politik kotor ada di mana-mana. Sejarah kejahatan politik selalu merujuk pada teori Nicollo Machiavelli (1469-1527). Pemikir politik asal Itali ini memperkenalkan teori: pentingnya mendapatkan kuasa sekali pun secara kekerasan.
Lebih mudah: teori Machiavelli yang sudah setengah kurun itu berpegang pada pengukuhan kuasa. Ahli politik mesti sanggup melakukan apa saja: “matlamat menghalalkan cara!”
Sejarah politik menunjukkan, kejahatan ala Machiavelli berterusan dari zaman ke zaman. Dunia tidak pernah sunyi melahirkan pemimpin yang jahat dan kejam.
Rakyat mahukan Malaysia Baharu yang matang. Politik prolifik pada era PH sepatutnya mampu meningkatkan kualiti IQ, idea dan karakter pemimpin. kualiti IQ, idea dan karakter pemimpin.
Selain menghapuskan politik kroni dan kleptokrasi serta isu perkauman melampau, Malaysia Baharu wajar mempromosikan teras politik yang lebih demokratik.
Isu manifesto dan peralihan kuasa
Sejak 9 Mei, 2018 rakyat menantikan Malaysia Baharu yang diilhamkan PH untuk melaksanakan 60 janji Manifesto yang dilancarkan 9 Mac, 2018.
Selain itu, selepas 13 bulan berkuasa, rakyat juga gusar berhubung isu peralihan kuasa jawatan perdana menteri. Krisis antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, mulai terasa.
Meskipun dinafikan – rakyat dapat merasa wujudnya bahang pertelagahan.
Rakyat mahukan pembaharuan dan bukan politiking berpanjangan. Isu ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan serta pemulihan institusi antara harapan tinggi pengundi.
Skandal video seks dan krisis berebut jawatan perdana menteri bukan sesuatu yang diharapkan dalam Malaysia Baharu. Apalagi membiarkan naratif Machiavelli dan amalan politik mafia mencelarukan negara.
Bagi rakyat Malaysia, skandal penyebaran video lucah dalam percaturan politik perlakuan sangat melampau.
Sekiranya Machiavelli masih hidup, pasti dia sendiri menolak konsep politik “matlamat menghalalkan cara” pada tahap sejahat yang diamalkan di negara ini. – 17 Julai, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen