SETAHUN berlalu sejak kerajaan menganjurkan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN2018), namun 51 resolusi yang dicapai dalam kongres tersebut masih belum terlaksana.
Badan naungan usahawan Bumiputera memberitahu The Malaysian Insight, tiada satu rangka kerja ataupun strategi diumumkan selepas kongres menerima resolusi tersebut.
Malah, janji kerajaan untuk menubuhkan satu badan bagi memperhalusi resolusi berkenaan masih tidak dapat dilihat sehingga hari ini.
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Hasan Mad berkata janji kerajaan untuk menubuhkan makmal tersebut tetap tidak dilaksanakan hingga sekarang.
Menurutnya, Unit Perancang Ekonomi (EPU) menyatakan perkara itu bergantung kepada arahan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sebagai penganjur KBN 2018.
“Janji kerajaan hari itu selepas kongres, dia mahu tubuh satu makmal untuk perhalusi (resolusi-resolusi) untuk dijadikan pelan tindakan. Tetapi hingga hari ini makmal itu tidak dilaksanakan.
“Kami telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak EPU selepas kongres dan mereka menunggu mandat daripada kementerian (Hal Ehwal Ekonomi) untuk bertindak.
“Hingga ke hari ini, semua senyap sahaja,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.
Ketika ditanya bersetuju bahawa adakah penganjuran KBN2018 mungkin hanya dibuat atas desakan untuk menarik sokongan kaum Melayu, dan bukan dibuat atas keperluan.
“Barang kali sebelum ini ada pihak yang mendesak kerajaan menganjurkan KBN 2018. Mungkin kerajaan anjurkan kongres kerana desakan bukan keperluan,” tambahnya.

Sementara itu, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) pula menganggap, perkembangan itu menunjukkan kerajaan hanya “pandai bercakap” mengenai pembangunan usahawan.
Timbalan Presiden Don Nazwin Don Najib berkata tiada usaha yang jelas diterjemahkan untuk menyelesaikan masalah pembangunan golongan itu.
Beliau memberi contoh, usaha membangun usahawan digital dilakukan secara terpisah melalui program Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia (SME Bank).
“Namun saya lihat tiada usaha kerja secara bersama antara agensi-agensi kerajaan,” jelasnya.
Don Nazwin juga berpendapat pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) yang dirasmikan minggu lepas hanya mengitar semula isu daripada KBN 2018.
“Berdasarkan ahli kami, DKN 2030 kitar semula isu yang dibawa KBN2018. Usahawan berharap satu rangka kerja daripada KBN2018 dapat diwujudkan tetapi, daripada DKN 2030, masalah yang sama diulang semula,” tambah beliau.
DKN 2030 merupakan dasar keusahawanan pertama di negara ini yang digubal secara komprehensif yang antara lain meliputi pembudayaan keusahawanan dan penjajaran semula sistem kawal selia.
Selain itu, dasar itu meliputi capaian kepada pembiayaan kewangan, pengukuhan pembangunan keusahawanan bersepadu dan holistik serta penumpuan kepada perusahaan berteraskan inovasi.
KBN 2018 pula mengemukakan 51 resolusi yang dipecahkan kepada enam bidang fokus utama, termasuk Nilai, Moral dan Etika serta Pendidikan dan Modal Insan.
Empat bidang lagi adalah Penciptaan dan Pemilikan Kekayaan, Perniagaan dan Keusahawanan; Tindakan Afirmatif, dan Pembentukan Strategi/Hala Tuju.
Resolusi kongres itu diserahkan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali tahun lalu untuk diteliti oleh pihaknya sebelum dibawa kepada kerajaan.
Ketika kongres tersebut berlangsung September lalu, beberapa usahawan menyatakan keluhan kerana resolusi itu dikitar semula daripada resolusi yang lama.
Mengulas perkara itu, Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan berkata ia menunjukkan kegagalan agenda Pakatan Harapan (PH) untuk menjayakan objektif KBN 2018.

“PH sekadar membuat sesuatu dasar tetapi tidak mencapai objektifnya. Sebagai contoh, mansuhkan GST tetapi harga barang tidak turun. Mereka anjurkan KBN2018, tetapi tiada hasil,” katanya.
Beliau turut melihat, pelbagai program yang dilancarkan PH sejak setahun lepas hanya dibuat untuk mengejar publisiti media.
“Apabila lancarkan apa-apa program dapat liputan media. Tetapi, kesannya adakah kosong atau positif?
“Contohnya daripada KBN 2018, tiada lagi sebarang pengumuman, apa yang mereka dapat (daripada 51 resolusi),” ujar beliau.
Walaubagaimanapun, Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia (DEUM), berpendapat usaha kerajaan dalam memajukan golongan itu tetap dapat dilihat walau bukan daripada KBN 2018 secara khusus.
Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Pusat DEUM Khairul Khuzaini Zamsani berkata, contoh yang paling utama adalah penubuhan semula Kementerian Pembangunan Usahawan (KPUN).
Jelasnya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ditubuhkan pada 2004 hanya bertahan hingga tahun 2009 sebelum dirombak kepada agensi berbeza.
“Selepas menang pilihan raya lepas, Dr Mahathir mewujudkan kementerian khusus mengawal selia pembangunan usahawan,” katanya.
Kerajaan juga merangka pelbagai inisiatif baharu seperti DKN 2030 yang memberi garis panduan kepada NGO, dan organisasi perniagaan untuk melahirkan usahawan, jelas beliau.
Satu lagi inisiatif yang mendapat pujiannya adalah Program Protege (Professional Training and Education For Growing Enterpreneurs) yang menekankan kepada latihan keusahawanan.
Ia merupakan program yang dijenamakan semula daripada Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang diperkenalkan pada 2011 oleh kerajaan BN. – 17 Julai, 2019.
Komen