Festival bir di Klang mungkin jadi sasaran militan, kata ketua polis negara


Nabihah Hamid

PESTA arak, Festival F&B Jerman yang sepatutnya diadakan di Klang bulan ini mungkin menjadi sasaran pengganas, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata berdasarkan kepada maklumat risikan, terdapat ancaman pengganas dalam acara itu dan polis bertanggungjawab menasihati pihak berkusa tempatan supaya tidak membenarkan festival itu diadakan.

“Kita nasihat pihak berkuasa tempatan untuk tidak benarkan ia diadakan di Klang. Saya akan keluarkan kenyataan mungkin hari ini atau esok.

“Banyak pihak tuduh kita, (kata) kita buat (larangan) suka-suka halang. Saya rasa ia dakwaan mengarut.

 “Kita sangat profesional. Kita ada bukti ada ancaman jadi tanggungjawab kita untuk nasihat pihak berkuasa. Jadi bila ada apa-apa berlaku jangan salahkan kami mengenai isu kelulusan permit,” katanya pada sidang media selepas media sambutan Hari Pahlawan 2017 di Putrajaya pagi tadi.

Media melaporkan festival yang dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Oktober ini tidak mendapat permit kerana turut menyediakan minuman keras atau arak yang mana arahan dikeluarkan kepada polis untuk menyekat sebarang penganjuran pesta arak.

Fuzi berkata keputusan meluluskan atau membatalkan permit Festival F&B Jerman bukan di bawah kuasa polis sebaliknya pihak berkuasa tempatan.

“Kuasa meluluskan permit bukan di bawah polis (tetapi) di bawah majlis perbandaran kawasan yang terlibat,” katanya.

Sebelum ini, pesta “Better Beer Festival” yang dijadualkan diadakan di Kuala Lumpur turut tidak mendapat permit selepas menerima bantahan pelbagai pihak.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menolak permohonan penganjur meneruskan acara itu yang dijadualkan pada 6 dan 7 Oktober depan. – 2 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen