PARTI pembangkang menyokong rang undang-undang pindaan perlembagaan untuk menurunkan usia mengundi sehingga 18 tahun kerana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan permintaan mereka, kata Ismail Sabri.
“Apa yang penting apabila kerajaan bersetuju dengan permintaan kami pada peringkat awal,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Ketua pembangkang itu berkata, Dr Mahathir membincangkan pindaan dengan Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta bersetuju untuk menarik kembali rang undang-undang terdahulu dan mengantikannya dengan yang baharu.
Blok pembangkang mahu mereka yang mencapai usia 18 tahun secara automatik didaftarkan untuk mengundi dan umur calon untuk pemilihan dikurangkan kepada 18 tahun.
“Oleh itu tidak ada masalah. Ini kali pertama dalam sejarah apabila 100% daripada mereka yang datang ke Dewan Rakyat menyokong satu rang undang-undang.
“Semua wakil BN yang datang kecuali tiga orang menyokong pindaan itu,” katanya.
Seramai 211 ahli Parlimen mengundi untuk rang-undang pindaan perlembagaan menurunkan had umur layak mengundi dan calon Parlimen sehingga usia 18 tahun.
Pendaftaran automatik warganegara berusia 18 tahun susulan Pindaan Perlembagaan Persekutuan akan turut meliputi belia berumur 21 tahun yang belum mendaftar sebagai pemilih.
Pada mulanya Pakatan Harapan hanya merancang untuk meminda Artikel 119 (1)(a) tetapi memutuskan untuk menambah dua lagi pindaan (Artikel 47 dan pendaftaran pengundi automatic) selepas pembangkang memberikan cadangan.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, selepas ini apa yang perlu dibuat adalah untuk memastikan pengundi keluar mengundi.
“Apa yang penting terdapat pendaftaran pengundi automati. Perlu ada kesedaran mengenai pengundian dan politik,” kata Ahli Parlimen Marang berkenaan. – 16 Julai, 2019.
Komen