POLIS akan menyiasat dakwaan penceramah bebas Wan ji Wan Hussain dipukul warden penjara minggu lalu, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Timbalan Menterinya, Azis Jamman bagaimanapun berkata pihaknya masih belum menerima perkembangan siasatan.
“Biar polis mnyiasat. Isu ini dah dibawa ke perhatian KDN. Kita serahkan kepada polis dan kita tunggu siasatan dari polis,” katanya kepada wartawan di lobi parlimen hari ini.
Terdahulu, Wan Ji mendakwa dirinya dipukul individu bertopeng yang memakai pakaian warden, sewaktu ditahan di Penjara Kajang selepas dijatuhi hukuman atas tuduhan menghina Sultan Selangor.
“Saya cakap jujur, saya kena pukul. Ada seorang budak yang cakap loghat Kelantan, dia pakai baju warden, dia tanya nama saya, saya kata Wan Ji. Dia minta saya tanggalkan cermin mata, kemudian ‘bam bam’ 3 kali dia bagi.
“Saya tanya apa salah aku? Warden yang lain penuh sekeliling dan yang lain ada yang gelak saja, bukan hendak halang,” katanya dalam satu klip video selama 2 minit 55 saat di YouTube yang dipercayai dirakam ketika kuliahnya baru-baru ini.
Presiden PKR Anwar Ibrahim turut menggesa siasatan dilakukan terhadap dakwaan Wan Ji dan yakin Wan Ji merupakan individu yang berwibawa dan tidak akan membawa fakta palsu. – 16 Julai, 2019.
Komen