SEORANG pakar kejuruteraan hari ini menyangkal teori pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi mengenai kecederaan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM), Amir Rafzi Ab Ghani berkata terdapat kesilapan dalam pengiraan yang dilakukan oleh Hafizam ke atas kecederaan Adib.
“Kesalahan yang beliau lakukan ialah mengambil kira berat van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan berat Adib yang menyebabkan tulang rusuknya patah.
“Sepatutnya hanya mengambil kira berat pintu (yang didakwa menghentam Adib),” katanya pada inkues bagi menentukan punca kematian Adib, di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Pegawai Pengendali Inkues, Faten Hadni Khairuddin berkata Amir dipanggil untuk mendapatkan pandangannya menegnai percanggahan dapatan pakar-pakar forensik.
Kesimpulan mengenai bagaimana Adib cedera berbeza dengan kesimpulan yang dibuat oleh seorang lagi pakar forensik, Dr Shahrom Abd Wahid.
Sharom berpendapat kesan hentaman bucu pintu van EMRS tidak cukup untuk menyebabkan Adib cedera, seperti yang dicadangkan oleh Hafizam.
Sharom menggunakan teori formula Newton untuk menunjukkan bahawa daya adalah minimum.
Menurut Faten, mahkamah memanggil Amir kerana kedua-dua pakar sebelum ini berkata mereka bukanlah pakar fizik.
Amir berkata jika mengikut pengiraan, daya sebanyak 3,300 Newton diperlukan untuk menyebabkan kecederaan kepada tubuh Adib. – 16 Julai, 2019.
Komen