Dera bukan budaya dalam tahanan tentera


Nabihah Hamid

PANGLIMA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor hari ini berkata amalan dera bukan budaya dalam tahanan tentera.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kematian dua anggotanya Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, yang dipercayai akibat didera, minggu lalu.

“Jika anda kata ia (amalan dera) budaya, ia bukan budaya. Jika budaya (kematian akan berlaku) hampir setiap hari, ia kes terpencil.

“Saya rasa kes sebegini berlaku kalau tak silap saya lama dulu. Kes terakhir lima atau 10 tahun dulu di Sungai Besi,” katanya pada sidang media di sambutan Hari Pahlawan 2017 di Putrajaya.

Raja Mohamed Affandi berkata beliau berharap ini kejadian terakhir yang berlaku meskipun kes anggota mati dalam tahanan jarang berlaku.

Beliau berkata pihaknya menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis dan akan mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) di pusat tahanan tentera.

“SOP ada (bagi penahanan anggota) tapi mungkin ada yang tidak patuh. Kita serahkan kepada polis untuk siasat,” katanya

Jumaat lalu, dua anggota TLDM meninggal dunia dipercayai akibat didera secara fizikal ketika dalam tahanan.

Mereka dilaporkan sihat sebelum dimasukkan dalam tahanan.

TLDM dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan dua anggotanya mati di bilik tahanan itu ketika menjalani latihan fizikal di kem.

Kedua-dua anggota berkenaan mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum mengalami muntah dan sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada 3.15 petang. – 2 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen