Dewan Rakyat lulus pindaan turun had umur mengundi


Chan Kok Leong

Pakatan Harapan melakar sejarah apabila berjaya mendapatkan ahli Parlimen merentas jurang politik bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengurangkan usia mengundi dan calon pilihan raya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 16 Julai, 2019.

PAKATAN Harapan melakar sejarah apabila Dewan Rakyat hari ini meluluskan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur mengundi dan calon pilihan raya.

Selepas empat jam sesi perbahasan, seramai 211 daripada 222 ahli Parlimen mengundi dan memihak kepada rang undang-undang pindaan kerajaan pada bacaan kedua dan ketiga.

Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga daripada ahli Parlimen. 

Tiada wakil rakyat yang mengundi untuk menolak, dan tiada juga yang berkecuali.

Perbahasan bermula dengan Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob (Bera-BN) dan berakhir dengan Shahidan Kassim (Arau-BN) menyaksikan 58 ahli Parlimen membahaskan rang undang-undang untuk mengurangkan usia minimum untuk mengundi dan usia calon mengundi. 

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membentangkan rang undang-undang untuk bacaan kedua hari ini sebelum perdebatan bermula.

Pindaan hari ini menyaksikan usia 21 tahun diganti pada 18 tahun dalam Perkara 119 (1) untuk had usia mengundi minimum rakyat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Fasal (4) juga dipinda untuk membolehkan pendaftaran pengundi automatik untuk mereka berusia 18 tahun.

Perkara 47 juga dipinda untuk untuk menurunkan umur warga negara yang layak mengundi menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Walaupun perlembagaan persekutuan telah dipinda beberapa kali sebelum ini, ini kali kedua dalam sejarah Parlimen ia diubah apabila kerajaan pemerintah tidak mempunyai majoriti dua pertiga.

Majoriti dua pertiga memerlukan undian 148 ahli Parlimen atau lebih daripada 222 anggota Dewan Rakyat.

Pakatan hanya mempunyai 139 ahli Parlimen. – 16 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen