PESAWAT ke-10 yang membawa sistem peluru berpandu Rusia S-400 mendarat di pangkalan udara di Ankara hari ini, lapor agensi berita Anadolu.
Kementerian Pertahanan memuat naik gambar di Twitter yang menunjukkan pesawat Rusia itu mendarat di pangkalan udara Murted.
Proses penyerahan sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 berkenaan masih diteruskan meskipun menerima bantahan Amerika Syarikat (AS).
Sebelum ini, pegawai AS mendesak Turki untuk membeli peluru berpandu Patriot dengan alasan sistem Rusia tidak sesuai dengan sistem NATO.
Bagaimanapun, Turki berkata S-400 tidak akan disatukan ke dalam sistem NATO dan tidak menjadi ancaman kepada pakatan antara Ankara dan Washington.
Turki pernah mencadangkan sebuah suruhanjaya ditubuhkan untuk menjelaskan sebarang isu teknikal, namun AS tidak memberi sebarang respon.
Sebaliknya, AS mengancam mengenakan sekatan ke atas Turki susulan pembelian itu.
Turki dalam reaksi balasnya berkata ia akan bertindak sewajarnya. – Bernama, 16 Julai, 2019.
Komen