HARI ini adalah kali kedua dalam sejarah negara kerajaan berjaya meminda Perlembagaan Persekutuan tanpa sokongan dua pertiga majoriti.
Kali pertama perlembagaan dipinda apabila kerajaan tidak mempunyai dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat pada 3 Mac 1971 selepas Parlimen kembali bersidang semula selepas pilihan raya 1969 dan rusuhan kaum.
Berikutan rusuhan tahun 1969, negara telah memasuki fasa “Emergency Rule” di mana Parlimen digantung selama 21 bulan manakala negara dikendalikan oleh Majlis Operasi Kebangsaan (NOC).
Selain rusuhan 1969, tahun ini juga penting kerana pertama kali Parti Perikatan terdiri daripada Umno, MCA dan MIC hilang dua pertiga di Dewan Rakyat.
Ia juga merupakan pilihan raya Parlimen pertama termasuk Sabah dan Sarawak selepas pembentukan Malaysia pada 1963.
Dalam pilihan raya itu, Parti Perikatan hanya menang 74 daripada 144 kerusi persekutuan.
Tetapi akibat rusuhan, kerajaan merasakan ia harus meminda Perlembagaan untuk memastikan masalah perpaduan kaum dapat diatasi.
Dikenali sebagai “Pindaan Perkara Sensitif”, Parlimen meminda Perkara 10 – Kebebasan Ucapan, Perhimpunan dan Persatuan yang terletak di bawah Kebebasan Asasi.
Sebelum pindaan, persetujuan Persidangan Raja-Raja diperlukan untuk pindaan kepada peruntukan berkaitan raja-raja, kepentingan Melayu dan masyarakat lain.
Selepas pindaan, persetujuan juga diperlukan untuk peruntukan lain seperti Perkara 10, 63, dan 72 (keistimewaan Dewan Undangan) dan 152 (bahasa kebangsaan).
Pada asalnya Artikel 153 memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong diberi tanggungjawab menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan kepentingan komuniti lain.
Tetapi berikutan pindaan itu ia juga memberi kuasa kepada raja untuk memastikan peluang yang sama disediakan untuk orang Melayu dalam perkhidmatan awam, pendidikan dan untuk permit serta lesen yang sah
Pindaan 1971 itu menambahkan penduduk pribumi Borneo.
Tetapi dengan hanya 74 ahli Parlimen, Perikatan memerlukan bantuan pihak lain – PAS, DAP, Gerakan, PPP, SUPP, SNAP, USNO, Pesaka dan Persatuan Cina Sabah untuk mengundi rang undang-undang.
Akhirnya seramai 126 daripada 144 ahli Parlimen mengundi untuk “Pindaan Perkara Sensitif” yang membenarkan rang undang-undang diluluskan.
Selepas pindaan itu, Gerakan dan PPP menyertai Perikatan pada 1971 manakala PAS menyertainya setahun kemudian.
Parti Borneo seperti Parti Perikatan Sabah, SUPP dan PBB menyertai Perikatan pada 1973 untuk membentuk Barisan Nasional. – 16 Julai, 2019.
Komen