AHLI Parlimen Umno Nazri Aziz berikrar untuk terus setia bersama parti itu dan pada masa sama menyokong Anwar Ibrahim yang bakal menjadi perdana menteri kelapan.
Katanya, tidak salah untuk beliau menyokong presiden PKR itu yang disifatkannya sebagai reformis negara.
Jelasnya, sokongan itu bukan satu perkara ganjil kerana bekas timbalan perdana menteri itu pernah memimpinnya sewaktu menjawat tugas sebagai ketua Pemuda Umno.
“Saya sokong Anwar. Takkanlah dalam Umno tidak boleh sokong beliau. Beliau adalah ketua Pemuda saya dahulu. Tidak ada salahnya, memandangkan saya tetap bersama Umno,” katanya.
Katanya, beliau boleh menyokong Anwar dalam Kaukus Reformasi dan Pentadbiran Urus Tadbir Parlimen yang dipengerusikan ahli Parlimen Port Dickson itu.
“Kita hendak buat yang terbaik buat Malaysia, saya ada pengalaman sebagai menteri, pernah jaga Parlimen dan saya hendak buat yang terbaik.
“Dengan jadi ahli kaukus saya boleh boleh sokong, kalau tidak sokong Anwar, takkanlah saya masuk kaukus Parlimen ini,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen.
Nazri kini bergeser dengan Najib Razak selepas mempersoalkan pelantikan bekas perdana menteri itu, yang berdepan tuduhan di mahkamah, untuk menjadi pengerusi majlis penasihat Barisan Nasional.
Kritikan tersebut menyebabkan timbul cadangan agar Nazri dipecat dari parti, yang disambut dengan cabaran oleh bekas menteri tersebut agar parti benar-benar berbuat demikian.
Sementara itu Anwar sewaktu ditemui berkata, pelawaan untuk Nazri menyertai Pakatan Harapan (PH), tidak pernah timbul, memandangkan menteri itu sememangnya penyokong tegar Umno.
“Bila dia kata hendak masuk PKR? Dia bincang dengan saya sepatah pun tidak. Tidak pernah sebut bab itu. Tidak ada sebut, dia kata dia Umno tegar. Saya tidak pernah pelawa sesiapa,” katanya. – 16 Julai, 2019.
Komen