Pakistan buka semula ruang udara penerbangan awam


Pakistan membuka semula ruang udaranya untuk semua penerbangan awam berkuat kuasa serta-merta. – Gambar fail AFP, 16 Julai, 2019.

PAKISTAN membuka semula ruang udaranya untuk semua penerbangan awam, lapor agensi berita Sputnik pada Selasa.

“Berkuat kuasa serta merta, ruang udara dibuka semula untuk semua jenis penerbangan awam di laluan Perkhidmatan Trafik Udara,” menurut Notice to Airmen (NOTAMS) yang dikeluarkan pihak berkuasa penerbangan.

Februari lalu Pakistan menutup ruang udaranya berikutan ketegangan semakin memuncak dengan negara jiran India di rantau Kashmir, kawasan yang menjadi pertikaian kedua-dua pihak.

Sengketa tercetus apabila Tentera Udara India melakukan serangan udara ke atas sebuah kem didakwa milik kumpulan pengganas Jaish-e-Mohammed di Kashmir yang dikuasai Pakistan, menyaksikan negara itu bertindak balas menyerang konvoi separa tentera India.

India berulang kali menuduh Pakistan menyokong militan dan mempunyai “kaitan langsung” dengan insiden di Kashmir. Bagaimanapun, Pakistan menafikan semua tuduhan itu. – Bernama, 16 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen