Guan Eng bohong kerana GST tak dirompak, kata Najib


Nabihah Hamid Ravin Palanisamy

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, Menteri Kewangan Lim Guan Eng perlu dikenakan tindakan kerana menuduh wang kutipan hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dirompak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 16 Julai, 2019.

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng perlu dikenakan tindakan kerana menuduh wang kutipan hasil Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dirompak, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Katanya Lim memfitnah dan berbohong di dalam Dewan Rakyat kerana Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mengesahkan wang RM19.4 bilion itu tidak hilang seperti didakwa.

“Apa yang dilakukan oleh Guan Eng, dia telah buat pembohongan dalam Dewan Parlimen. 

“Ini satu tuduhan yang amat serius. Sebab itulah sebagai parti, ketua pembangkang BN buat laporan untuk beliau disabitkan ke jawatankuasa yang berkenaan,” katanya.

Menurutnya, beliau juga berasa terbela kerana laporan itu menangkis tuduhan Lim bahawa kerajaan BN melakukan rompakan ke atas kutipan cukai tersebut.

“Saya rasa terbela dengan laporan PAC bahawa tidak berlaku sebarang perompakan mahupun sebarang penyelewengan dalam kutipan GST.

“Dan apa yang telah dilakukan adalah nasihat daripada para pegawai kerajaan, termasuk Ketua Audit Negara dan pegawai-pegawai Kementerian Kewangan, bahawa cara pentadbiran duit itu masuk dalam Akaun Hasil Disatukan dulu sepenuhnya,” katanya.

Semalam, laporan PAC menjelaskan bahawa kutipan GST tidak hilang, tetapi tidak disalurkan ke dalam Tabung Bayaran Balik GST. 

Ia sebaliknya dimasukkan terus ke Akaun Hasil Disatukan kerajaan persekutuan dan digunakan untuk perbelanjaan lain.

Peguam Negara menegaskan perkara itu melanggar Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957 dan Seksyen 54 Akta Barangan dan Perkhidmatan 2014.

PAC dalam laporannya mengesahkan bahawa kerajaan tidak mematuhi undang-undang dalam menguruskan bayaran balik GST. – 16 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen