POLIS belum memutuskan untuk memanggil Menteri Kewangan Lim Guang Eng berhubung laporan dibuat wakil rakyat Umno berkenaan dakwaannya tentang bayaran kembali cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dicuri, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Hamid mengesahkan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin membuat laporan terhadap Lim tahun lalu dan ada kemungkinan Lim dipanggil untuk soal siasat.
“Saya tahu tentang laporan dibuat oleh Khairy Jamaluddin. Kami sedang melihat tindakan selanjutnya.
“Buat masa ini kami belum putuskan untuk panggil Lim atau tidak, tetapi sudah tentu kemungkinan itu ada,” kata Hamid selepas menyampaikan anugerah di kem batalion Pasukan Gerakan Am ke-4 di Semenyih hari ini.
Khairy membuat laporan itu selepas Lim menuduh bekas kerajaan Barisan Nasional menyalahgunakan wang bayaran balik GST.
Lim mengumumkan RM19.4 bilion hilang, menggunakan perkataan “dirompak” untuk menggambarkan alasan kehilangan itu di Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.
Tuduhannya itu menyebabkan Khairy membuat laporan kepada polis dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk mendesak siasatan dibuat.
PAC semalam membentangkan laporan berkenaan siasatannya terhadap dakwaan Lim, berkata wang itu tidak dicuri tetapi digunakan untuk membayar perbelanjaan kerajaan. – 16 Julai, 2019.
Komen