KERAJAAN harus membenarkan ahli politik pembangkang masuk ke kawasan sekolah dan kampus universiti selepas had usia mengundi diturunkan, kata Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob.
“Adalah tidak adil kepada kami sekiranya tidak dibenarkan masuk ke sekolah dan kawasan kampus,” katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika membahaskan rang undang-undang pindaan had umur mengundi dan bertanding pilihan raya pada usia 18 tahun.
Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua hari ini oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Dewan Rakyat akan mengundi pada petang ini.
Di bawah bekas pemerintahan Barisan Nasional, ahli politik pembangkang dihalang dari memasuki sekolah dan universiti.
Pakatan Harapan kemudian menghapuskan larangan itu dan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bersetuju membenarkan ahli politik pembangkang memasuki sekolah dengan syarat mereka tidak berkempen dengan bendera parti di kawasan berkenaan.
Pada November, Maszlee berkata ahli politik pembangkang perlu mendapatkan kebenaran jabatan pendidikan negeri untuk memasuki kawasan sekolah.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera turut mempersoalkan pelantikan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru dilantik Zoe Randhawa yang merupakan bekas aktivis Bersih 2.0.
“Selepas pilihan raya kerajaan telah melantik beberapa pesuruhjaya SPR dari Bersih 2.0 tanpa melalui jawatankuasa pilihan.
“Bolehkah kerajaan menjamin kebebasan SPR?,” katanya.
Rang undang-undang kerajaan bertujuan meminda Perkara 119 (1) (a) dan 47 Perlembagaan Persekutuan.
Speaker Mohamad Ariff Md Yusof berkata, seramai 58 ahli Parlimen dijangka membahaskan rang-undang-undang hari ini.
Pengundian dibuat selepas Dr Mahathir menyampaikan ucapan penggulungannya pada jam 6 petang. – 16 Julai, 2019.
Komen