Mesyuarat piagam dengan Umno tertangguh, kata PAS


Nabihah Hamid

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata mesyuarat memuktamadkan piagam dengan Umno tangguh untuk urusan pindaan perlembagaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 16 Julai, 2019.

MESYUARAT untuk memuktamadkan piagam dengan Umno ditangguhkan untuk memberi laluan kepada urusan pindaan perlembagaan, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan perkara itu akan diputuskan secepat mungkin, katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

“Kita belum muktamadkan piagam antara PAS dan Umno. Sepatutnya kedua-dua parti mesyuarat malam ini tapi tertangguh lagi sebab ada pengundian pindaan perlembagaan sampai malam, kita tangguh dulu.

“Kita akan buat secepat mungkin dalam bulan ini juga,” kata ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Piagam itu bagi membolehkan PAS dan Umno mengukuhkan kerjasama kedua-dua parti dalam bentuk lebih rasmi dan lebih luas daripada tiga isu utama yang dipersetujui.

PAS pada bulan lalu mengumumkan, tiga perkara yang dipersetujui adalah soal pertandingan dalam pilihan raya kecil, isu berkaitan Melayu-Islam dan isu di peringkat Parlimen. – 16 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen