Remaja kini boleh mengundi kerana cepat dewasa, kata Dr Mahathir


Nabihah Hamid Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata remaja patut diberi peluang mengundi seawal usia 18 tahun kerana mereka berfikiran terbuka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 16 Julai, 2019.

REMAJA patut diberi peluang mengundi seawal usia 18 tahun kerana golongan itu lebih berfikiran terbuka susulan  mendapat pelbagai maklumat dari pelbagai platform, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri menjelaskan, ia berbeza dengan generasi awal yang mendapat maklumat terhad daripada laporan radio dan siaran televisyen juga masih belum wujud pada waktu itu

“Zaman ini mereka mendewasa lebih awal sebab keadaan terbuka. Kalau dulu di zaman saya dulu masa kecil umur 20 tahun tak pergi mana. Duduk diam saja. Tak tahu apa jadi.

“Sekarang ini, maklumat ada banyak.  Dan dia boleh baca buku, website dan macam-macam lagi dia dapat pengetahuan yang lebih. Oleh itu minda mereka lebih terbuka, lebih dewasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini selepas membentangkan usul untuk meminda perlembagaan bagi menurunkan had usia mengundi dari 21 kepada 18 tahun.

Rang undang-undang itu akan dibacakan untuk kali kedua petang ini diikuti undian belah bahagi oleh ahli Dewan Rakyat.

Blok pembangkang pada minggu lalu menyatakan kesediaan untuk menyokong cadangan undang-undang itu memandangkan kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga. – 16 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen