PBB bimbang sekatan AS terhadap menteri luar Iran di New York


Setiausaha Negara AS Mike Pompeo pada Ahad berkata beliau memberi lampu hijau berhubung visa untuk Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif berkunjung ke ibu pejabat PBB di New York, sambil menambah sebahagian besar pergerakan Zarif akan terbatas. – Gambar AFP, 16 Julai, 2019.

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluahkan kebimbangannya kepada Amerika Syarikat (AS) berhubung tindakan negara itu mengenakan sekatan perjalanan terhadap menteri luar Iran, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap badan dunia itu pada Isnin.

“Sekretariat menyedari langkah-langkah sekatan perjalanan yang dikenakan oleh negara tuan rumah baru-baru ini ke atas kakitangan misi tetap Iran ke PBB,” kata Farhan Haq, timbalan jurucakap bagi Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

“Sekretariat kini berhubung rapat dengan misi tetap AS dan Iran ke PBB berhubung perkara ini dan menyuarakan kebimbangannya kepada negara tuan rumah,” kata Haq kepada pemberita dalam satu taklimat tetap.

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo pada Ahad berkata beliau memberi lampu hijau berhubung visa untuk Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif berkunjung ke ibu pejabat PBB di New York, sambil menambah sebahagian besar pergerakan Zarif akan terbatas.

Zarif dan anggota delegasi lain Iran, yang tiba di New York pada Ahad, akan dibenarkan melakukan perjalanan antara ibu pejabat PBB dan misi Iran serta kediaman duta Iran ke PBB di kawasan berhampiran, kata Pompeo kepada Washington Post.

“Diplomat AS tidak berkeliaran di sekitar Tehran, jadi kami juga tidak nampak alasan untuk diplomat Iran berkeliaran dengan bebas di sekitar New York City,” Pompei dipetik sebagai berkata oleh Washington Post.

Sejak Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran 2015 tahun lepas, hubungan antara kedua-dua negara merosot dengan ketegangan yang semakin memuncak di Teluk Oman, Teluk Parsi dan Selat Hormuz selain menyaksikan sekatan dikenakan semula ke atas Iran oleh AS. – Bernama, 16 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen