HAMPIR separuh penduduk Korea Utara menderita kekurangan makanan ketika negara miskin itu bergelut menangani krisis kekurangan bekalan yang semakin memburuk, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap pada Isnin memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.
Menurut laporan Keadaan Keselamatan Makanan dan Nutrisi di Dunia 2019 yang dikeluarkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), prevalens kekurangan makanan dalam kalangan penduduk Korea Utara mencecah 47.8% bagi tempoh 2016 hingga 2018.
Jumlah itu menyaksikan peningkatan mendadak berbanding tempoh 2004-2006, yang berada pada tahap 35.4% serta meningkat daripada 43.4% yang dilaporkan bagi tempoh 2015-2017.
Hanya tiga negara—Republik Afrika Tengah, Zimbabwe dan Haiti—mencatat prevalens kekurangan makanan lebih tinggi berbanding Korea Utara dalam laporan terkini PBB itu.
“Selepas sedekad penurunan yang stabil, jumlah orang yang menderita kelaparan di dunia meningkat secara perlahan selama beberapa tahun berturut-turut,” menurut laporan itu.
Dalam laporan berasingan pada awal bulan ini, FAO dan Program Makanan Sedunia menyatakan bahawa hasil tanaman Korea Utara tahun lepas mencapai tahap terendah sejak 2008, dengan anggaran 10 juta orang atau kira-kira 40%s jumlah penduduknya, berdepan keperluan mendesak untuk mendapatkan makanan.
Sementara itu, prevalens kanak-kanak Korea Utara di bawah usia lima tahun yang tumbesarannya terbantut berkurangan daripada 27.9% pada 2012 kepada 19.1% bagi tahun lepas. – Bernama, 16 Julai, 2019.
Komen