PM New Zealand turut kutuk Twitter rasis Trump


Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern mengutuk Twitter Presiden AS Donald Trump yang rasis terhadap anggota kongres wanita Demokrat. – Gambar fail EPA, 16 Julai, 2019.

PERDANA Menteri New Zealand Jacinda Ardern turut mengutuk Twitter Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang rasis terhadap anggota kongres wanita Demokrat.

Ardern, pemimpin muda yang berkarisma dianggap sebagai “anti-Trump” oleh media AS, berkata beliau sangat meraikan kepelbagaian negaranya.

“Biasanya saya tidak campur politik orang lain, tetapi biar ia jelas kepada kebanyakan orang bahawa saya sangat tidak bersetuju dengan dia,” kata Ardern kepada Radio New Zealand.

Ahad lalu, Trump menggesa sekumpulan empat anggota kongres wanita Demokrat yang semuanya bukan kulit putih – tiga daripadanya lahir di AS – untuk “pergi balik” negara asal mereka, kemudian menyerang mereka sekali lagi keesokan harinya.

“Jika anda tidak senang di sini, anda boleh pergi. Ini tentang cinta untuk Amerika, orang tertentu benci negara kami,” katanya di Twitter.

Ardern berkata rakyat New Zealand meraikan kepelbagaian dalam tampuk kuasa.

“Kami memandang Parlimen sepatutnya menjadi tempat mewakili semua, ia patut kelihatan dan rasa seperti New Zealand, ia perlu ada pelbagai budaya dan etnik,” katanya.

“Dan tidak sepatutnya asal keturunan dan hak sesiapa dihakimi.”

Perdana Menteri Britain Theresa May dan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau turut mengutuk Twitter itu, sementara calon presiden Demokrat melabel Trump sebagai rasis. – AFP, 16 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen