Gambar Alan Turing diabadikan pada wang kertas UK baharu


Gabenor Bank of England, Mark Carney ketika melancarkan wang polimer baharu yang memaparkan wajah pakar matematik dan saintis Alan Turing. – Gambar AFP, 16 Julai, 2019.

PEMECAH kod Perang Dunia Kedua, Alan Turing terpilih untuk menghiasi wang kertas £50 baharu Britain, umum Bank of England semalam, beberapa dekad selepas kematiannya yang tragis berikutan kesalahan terhadap homoseksual.

Turing memainkan peranan penting dalam pembangunan awal komputer, tetapi kerjayanya ditamatkan oleh sabitannya pada 1952 kerana kesalahan kelakuan tidak senonoh dengan seorang lelaki berusia 19 tahun.

“Alan Turing adalah seorang ahli matematik yang cemerlang yang kerjanya mempunyai kesan sangat besar terhadap hidup kita hari ini,” kata Gabenor Bank of England, Mark Carney ketika melancarkan wang kertas bernilai £50.

“Sebagai bapa sains komputer dan kecerdasan buatan, serta pahlawan perang, sumbangan Alan Turing sangat besar,” katanya di Muzium Sains dan Industri di Manchester, barat laut England.

Turing menerima pengampunan selepas kematiannya daripada Queen Elizabeth II pada 2013.

“Ia wajar untuk kita mengingati warisannya dan sumbangan cemerlang yang dilakukan golongan LGBT kepada negara kita pada nota £50 baharu,” kata Perdana Menteri Theresa May.

Wang nota yang akan digunakan sehingga penghujung 2021, memaparkan gambar Turing yang diambil pada 1951.

“Kerja perintis Alan Turing dalam matematik dan sains komputer memainkan peranan penting dalam mengakhiri Perang Dunia Kedua,” tambah May.

Bank England meletakkan wajah baru pada wang nota Britain sejajar dengan pertukaran penggunaan kertas kepada polimer, filem plastik lebih nipis atau fleksibel yang dilihat lebih tahan lama dan selamat.

Wang nota baharu £20 yang akan diedar tahun depan bakal menampilkan artis J. M. W. Turner pada bahagian belakangnya.

Wang nota polimer baru £5 dan £10 yang sudah digunakan memaparkan gambar pemimpin perang Winston Churchill dan penulis Jane Austen.

Gambar ratu di bahagian depan wang Britain. Duit kertas £50 paling kurang digunakan di kalangan orang awam, dan menjadi pilihan penjenayah yang ingin memindahkan sejumlah besar wang tunai. – AFP, 16 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen