Mustafa Akyol bukan ancaman besar, kata ketua polis negara


Nabihah Hamid

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata penulis Turki Mustafa Akyol yang ditahan Jawi minggu lalu bukan ancaman kepada negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Oktober, 2017.

POLIS tidak melihat wartawan dan penulis Turki, Mustafa Akyol yang ditahan oleh Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) minggu lalu sebagai satu ancaman besar kepada negara, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Katanya, penulis itu ditahan hanya kerana tidak ada tauliah untuk mengajar agama seperti yang ditetapkan dalam undang-undang.

“Saya tidak melihat dia (Mustafa) sebagai satu ancaman besar. Daripada segi agama, ia benda asas, itu saja. Perlu ada tauliah sebelum mengajar,” katanya pada sidang media di Dataran Pahlawan, Putrajaya, hari ini.

Fuzi menjawab pertanyaan wartawan apakah Mustafa ancaman kepada negara sehingga diperlakukan sedemikian rupa.

Mustafa ditahan daripada meninggalkan Malaysia minggu lalu kerana dikehendaki oleh Jawi bagi membantu siasatan atas dakwaan melanggar Seksyen 11 Akta Kesalahan Syariah Wilayah Persekutuan 1997, kerana mengajar Islam atau topik berkaitan dengan Islam tanpa tauliah daripada pihak berkuasa agama.

Beliau berada di Kuala Lumpur atas jemputan Islamic Reinassance Front (IRF) untuk menyampaikan kuliah berkenaan isu murtad dan demokrasi dalam Islam serta memperkatakan buku terbarunya, “The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims”.

Mustafa dipanggil untuk siasatan bersama Pengarah IRF Dr Ahmad Farouk Musa.

Beliau tidak pergi ke pejabat Jawi sebaliknya mengambil keputusan pulang ke Amerika Syarikat. Beliau bagaimanapun ditahan ketika hendak meninggalkan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin malam dan dibebaskan 18 jam kemudian pada tengah hari Selasa.

Beliau dibebaskan selepas keterangannya diambil oleh Jawi. Mustafa kemudian berlepas pulang ke Amerika dari Kuala Lumpur melalui Istanbul, Turki. – 2 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen