Apakah pembangkang sokong undi had umur 18 tahun hari ini?


Chan Kok Leong

Dengan hanya 139 ahli Parlimen di pihaknya, Pakatan memerlukan sembilan lagi undi untuk meluluskan pindaan hari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2019

PEMBANGKANG akan menjadi tumpuan apabila Parlimen memutuskan sama ada untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun hari ini. 

Selepas beberapa minggu rundingan dan rundingan dijalankan, Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak perlu membuat keputusan sekiranya mahu menyokong kerajaan Pakatan Harapan bagi meminda Perkara 119 (1) (a) dan 47 Perlembagaan Persekutuan. 

Ini merupakan cubaan kali kedua Pakatan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan walaupun tidak mempunyai majoriti dua pertiga (148 ahli Parlimen). 

Cubaan terakhir Pakatan untuk meminda Perkara 1 digagalkan pada sidang sebelum ini apabila pembangkang memutuskan untuk tidak menyokong dan bersikap berkecuali. 

Dengan hanya 139 ahli Parlimen di pihaknya, Pakatan memerlukan sembilan lagi undi untuk meluluskan pindaan hari ini. 

Kali ini, pembangkang dilihat menjadi penentu kepada undian untuk perubahan. 

Petanda jelas pembangkan akan menyokong pindaan itu selepas Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob mengadakan sidang media bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad Khamis lalu, kata Senator Khairul Azwan Harun.

“Saya rasa itu petanda yang kuat bahawa pembangkang menyokong pindaan perlembagaan ini,” kata Khairul. 

Pensyarah sains politik Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mohar berkata tiada sebab untuk pembangkang tidak menyokong pindaan ini selepas kerajaan bersetuju dengan syarat yang diletakkan.

“Syarat yang diletakkan oleh ahli Parlimen Umno telah ditunaikan oleh kerajaan. Syarat itu dibuat secara umum dan rakyat mengetahui perkara ini. 

“Oleh itu, sekiranya mereka tidak menyokongnya, kredibiliti mereka akan terjejas,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu. 

Pakatan pada mulanya mahu meminda Perkara 119 (1) (a) untuk menurunkan umur pengundian minimum kepada 18 tetapi selepas permintaan oleh pembangkang untuk menurunkan umur minimum bagi calon, kerajaan memutuskan untuk menarik balik rang undang-undang awalnya dan bentangkan usul yang baru untuk memasukkan pindaan Perkara 47.

Kerajaan juga bersetuju dengan permintaan pembangkang untuk membuat pendaftaran pengundi secara automatik. Bagaimanapun, ini tidak memerlukan sebarang pindaan seperti Seksyen 15 Akta Pilihan Raya 1958 yang memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membuat peraturan yang berkaitan dengan pendaftaran pengundi.

Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya percaya GPS kemungkinan besar akan menyokong pindaan itu.

“Tiada sebab mengapa GPS tidak mahu sokong kerana impak untuk pindana ini masih belum jelas. 

“Kedua-dua kerajaan dan pembangkang mempunyai lebih banyak peluang untuk menarik sokongan pengundi muda,” katanya. 

Pensyarah sains politik Universiti Utara Malaysia Dr Jamarul Zaman Yusoff berkata blok pembangkang perlu menyokong pindaan itu. 

“Sudah tentu mereka akan sokong. Mereka tiada sebab untuk tidak berbuat demikian kerana mereka yang meletakkan syarat. 

“Malah mereka boleh anggap ia sebagai satu kejayaan yang mana kerajaan bersetuju dengan tuntutan mereka,” katanya merujuk kepada persetujuan Putrajaya dengan syarat yang diletakkan pembangkang sebelum ini. 

Kematangan politik?

Sekiranya pindaan itu berjaya, ia akan menjadi satu langkah ke arah politik matang negara susulan PRU14, kata Tunku Mohar. 

“Ini bermakna dalam beberapa kes, ahli undang-undang boleh mengundi berdasarkan suara hati mereka dan bukan hanya kepentingan partisan. Walaupun ini berlaku dalam demokrasi maju, ia adalah sesuatu yang jarang berlaku di negara ini. “

Ini adalah kali pertama kerajaan memerintah, tanpa majoriti dua pertiga, cuba untuk meminda Perlembagaan Persekutuan walaupun tidak ada kerajaan majoriti  sejak 2008. BN tidak cuba untuk meminda perlembagaan dalam tempoh dua penggal terakhir (2008- 2018).– 16 Julai, 2019


Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen