Maduro selar laporan PBB mengenai situasi hak asasi manusia di Venezuela 


Presiden Venezuela Nicolas Maduro berkata laporan pada 5 Julai itu penuh dengan kenyataan palsu, menyimpang dan data serta sumber telah dimanipulasi.– Gambar EPA, 15 Julai, 2019

LAPORAN dikeluarkan pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Hak Asasi Manusia (OHCHR) pada awal bulan ini, berkaitan situasi di Venezuela “amat berbahaya” kepada “kebenaran mengenai hak asasi manusia” dan juga maruah rakyat, kata Presiden Nicolas Maduro.

Maduro menolak dan menuntut OHCHR untuk membetulkan laporan itu.

Pertama, laporan ini adalah replika kepada laporan sebelum ini yang disediakan oleh pegawai terdahulu yang mana seperti rekod awam - menjuruskan tindakannya ke arah membina kes haram dan tidak bermoral terhadap Venezuela dengan matlamat tunggal adalah meletakkan kesalahan jenayah ke atas negara Venezuela, ” kata Maduro dalam suratnya bertarikh 11 Julai kepada Ketua Hak Asasi Manusia PBB Michelle Bachelet.

Satu salinan surat turut dihantar kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama oleh Kedutaan Besar Venezuela di Malaysia, di Kuala Lumpur, Isnin.

Maduro berkata laporan pada 5 Julai itu penuh dengan kenyataan palsu, menyimpang dan data serta sumber telah dimanipulasi.

“Apa yang amat membimbangkan adalah cubaan dalam laporan itu bagi menggambarkan keadaan di Venezuela berdasarkan versi yang diperoleh dari luar negara. Daripada 558 temuramah yang dijalankan OHCHR, 460 di luar wilayah kebangsaan, iaitu 82 peratus daripada soal selidik laporan ini.

“Malangnya laporan anda, seiring dengan media dan naratif politik Washington, yang secara tersirat menyerang Venezuela dengan mengulang-ulang skrip tohmahan kerajaan diktator dan tuduhan krisis kemanusiaan dalam usaha mewajarkan campur tangan,” katanya.

Di bawah resoluis 39/1 Majlis Keselamatan PBB, meminta Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia menyediakan laporan bertulis yang komprehensif berhubung situasi hak asasi manusia di Venezuela.

Laporan itu berdasarkan maklumat dikumpul dan dianalisis oleh OHCHR, termasuk melalui misi.

“Wajarkah sebuah kerajaan digelar pemerintahan diktator sedangkan ia dipilih oleh rakyat, memberikan hak kepada penduduk asal, kanak-kanak, wanita dan orang tua?

“Bolehkah ia digelar “krisis kemanusiaan” apabila Amerika Syarikat sendiri menyebabkan lebih US$30 bilion aset minyak Venezuela di luar negeri terabai, menyekat dan menyita lebih AS$7 bilion yang diperuntukkan untuk pembelian makanan dan ubat-ubatan selain menganiaya syarikat yang berdagang dengan Venezuela?, ” soal Maduro. – Bernama, 15 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen