SEMUA ahli Parlimen menerima dua pucuk surat ditulis Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abu Bakar yang menggesa mereka membenarkan lebih ramai rakyat Malaysia terlibat dalam proses demokratik negara.
“Dengan pindaan ini, dapatlah kita bersama-sama memberi peluang kepada lebh ramai warganegara Malaysia di kalangan anak muda untuk mengambil bahagian secara langsung dalam proses demokrasi negara,” tulis Dr Mahathir dalam suratnya.
Katanya lagi, anak muda tidak boleh dilihat hanya sebagai masa hadapan Malaysia tetapi juga rakan penting dalam pembinaan negara.
“Seharusnya golongan ini diberi ruang yang luas untuk terlibat secara langsung dalam proses demokrasi khususnya menunaikan amanah memilih kepimpinan negara melalui peti undi,” kata perdana menteri tertua dunia itu.
Tambahnya, beliau yakin anak muda Malaysia ada kemampuan membuat keputusan bijak dan rasional dalam pilihan raya.
“Usia muda tidak sesekali menghalang mereka untuk memiliki pertimbangan yang matang dalam usaha menyumbang kepada pembangunan negara.”

Surat Dr Mahathir bertarikh 28 Jun itu diletakkan di atas meja semua ahli Parlimen pagi tadi, pada bacaan kedua usul pindaan Perkara 119 (1) (a) dan 47 Perlembagaan Persekutuan.
Seorang ahli Parlimen, Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) mengesahkan menerima surat itu.
“Saya dapat surat daripada perdana menteri. Ia diletakkan di atas meja saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Usaha saat akhir itu dibuat Pakatan Harapan yang hanya ada 139 wakil dalam Dewan Rakyat dan memerlukan sembilan undi wakil pembangkang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
Pindaan ke atas Perkara 119 (1) (a) akan membolehkan warga Malaysia mengundi sebaik mencecah usia 18 tahun, manakala pindaan Perkara 47 membolehkan mereka bertanding dalam pilihan raya.

Selain surat Dr Mahathir, Syed Saddiq juga turut menulis surat ditujukan kepada semua ahli Parlimen.
“Walaupun berbeza dari segi fahaman politik, namun kami semua percaya dan berpendapat bahawa anak muda kini mampu berfikiran secara matang apatah lagi untuk membuang undi sekaligus menentukan hala tuju negara melalui pilihan raya.”
Syed Saddiq yang menjadi menteri termuda pada usia 25 tahun, berkata 95% negara dunia sudah menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun.
“Dengan adanya perubahan seperti ini di Malaysia, ia bakal membawa hampir 3.7 juta peningkatan bilangan pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 sekaligus menunjukkan bahawa suara anak muda tidak boleh diketepikan,” tulis ahli Parlimen Muar itu lagi.
Dr Mahathir menamatkan suratnya dengan harapan supaya ahli Parlimen dapat menyokong pindaan perlembagaan itu.
“Saya benar-benar berharap Yang Berhormat bersedia untuk mengambil bahagian bersama saya dan ahli-ahli Parlimen yang lain dalam mencipta sejarah baharu untuk negara dalam sesi Parlimen akan datang.” – 15 Julai, 2019.
Komen