NAJIB Razak perlu jalani pemeriksaan di Tanjung Rambutan kerana mendakwa Lim Kit Siang adalah dalang di sebalik penubuhan Bersatu, kaat Dr Mahathir Mohamad.
“Orang yang kata itu saya ingat perlu dihantar ke Tanjung Rambutan untuk diperiksa,” kata pengerusi Bersatu hari ni selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti itu.
Walaupun beliau tidak menamakan ahli Parlimen Pekan, namun jelas Dr Mahathir merujuk kepada penasihat BN yang baharu dilantik.
Katanya dakwaan Najib itu tidak masuk akal dan memberi pandangan bahawa orang Melayu tidak boleh berfikir.
“Ya lah, Lim Kit Siang mengadakan mesyuarat dengan semua pemimpin Melayu, adalah perlu pemimpin Melayu tubuhkan Bersatu, maka kita pun kata ya, ya dan ya. Kalau kamu nak percaya yang itu, kamu boleh percayalah,” katanya dalam nada menyindir.
Najib sebelum ini berkata cadangan untuk menubuhkan Bersatu sebagai sebuah parti melayu untuk menentang Umno adalah daripada veteran DAP, Lim Kit Siang.
Bekas perdana menteri itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh individu yang turut hadir pada pertemuan ketika Lim mencadangkan kepada Dr Mahathir untuk menubuhkan parti itu.
“Siapa agaknya mencadangkan parti Bersatu ditubuhkan? Saya sudah jumpa orang yang hadir dalam mesyuarat berkenaan. Orang itu hari ini sudah pusing, bersama dengan kita.
“Dia kata yang mencadangkan Bersatu ditubuhkan tidak lain dan tidak bukan, Lim Kit Siang,” katanya pada mesyuarat Umno Bahagian Pendang Jumaat lalu.
Menurut Najib, Lim membuat cadangan itu kepada Dr Mahathir dengan matlamat menarik 10% undi Melayu kepada PH pada pilihan raya umum tahun lepas.
“Maknanya dalam kepala DAP dan Kit Siang, hendak jatuhkan kerajaan pimpinan Umno dan Barisan Nasional, pecah belahkan orang Melayu.
“Saya boleh sahkan, ini bukanlah andaian-andaian. Ini telah berlaku dan akibatnya bila lebih kurang 10% undi Umno berkurangan, sudah cukup untuk kita tumbang dalam pilihan raya lepas,” katanya.
Lim yang merupakan ahli Parlimen Iskandar Puteri, membalas kenyataan itu dengan mencabar Najib untuk menamakan individu di sebalik tuduhan itu.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana mungkin Dr Mahathir akan ikut telunjuknya selepas pernah penjarakannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
“Kenapa Dr Mahathir nak ikut telunjuk saya, dan bagaimana saya tiba-tiba menjadi begitu kuat untuk menjadi ‘raja’ dalam politik Malaysia, mengarahkan tindakan dan pemikiran Dr Mahathir, bakal perdana menteri ke-8 Anwar Ibrahim, dan lain-lain pemimpin politik, termasuk Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan presiden Amanah dan Menteri Pertahanan Mat Sabu?
“Saya pernah dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang telah dibawa ke mahkamah banyak kali atas tuduhan palsu, anak saya Lim Guan Eng ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan telah dipenjarakan dan kehilangan kedudukannya sebagai ahli Parlimen untuk mempertahankan gadis Melayu bawah umur, dan kini menteri kewangan selepas dua penggal menjadi ketua menteri Pulau Pinang.
“Mengapa saya perlu jadi boneka Dr Mahathir?” bidas Lim kepada Najib, yang dinamakan sebagai penasihat Barisan Nasional baru-baru ini. – 15 Julai, 2019
Komen