Angka kematian terus meningkat akibat musim hujan Asia Selatan 


Keadaan banjir di utara India yang menyebabkan kerosakan serta kehilangan nyawa. – Gambar EPA, 15 Julai, 2019

SEKURANG-kurangnya 12 orang terbunuh selepas sebuah bangunan kediaman runtuh di utara India berikutan hujan lebat yang berterusan manakala ratusan lagi dilaporkan terbunuh di seluruh Asia Selatan, kata pihak berkuasa.

Banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat menyebabkan sekurang-kurangnya 67 orang terbunuh di Nepal manakala 30 orang lagi dilaporkan hilang, kata polis.

Di Bangladesh, sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh sejak 9 Julai lalu termasuk 18 orang yang dipanah petir dan tujuh akibat lemas selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di Teluk Bengal.

Sepuluh orang lagi dilaporkan turut terkorban di kem penempatan pelarian Rohingya di Tenggara Bangladesh yang mana ribuan rumah sementara yang dibina musnah.

Dalam insiden terbaharu dalam musim hujan di India, bangunan empat tingkat di lereng bukit di negeri Himachal Pradesh runtuh menyebabkan 12 orang terbunuh dan tujuh lagi dilaporkan terperangkap.

Struktur bangunan yang terletak berhampiran Shimla, runtuh berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Anggota pasukan penyelamat masih berusaha mencari mangsa yang terperangkap, manakala jentera berat terpaksa digunakan untuk mengalihkan sisa runtuhan dan tanah lumpur.

Pegawai pihak berkuasa tempatan K.C. Chaman berkata 12 orang terbunuh dalam itu dan menambah pasukan penyelamat masih mencari tujuh orang yang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan.

Seorang anggota tentera yang diselamatkan dari runtuhan berkenaan berkata mereka sedang berkumpul untuk mengadakan parti apabila tiba-tiba bangunan berkenaan bergegar dan runtuh.

Insiden seperti itu merupakan perkara biasa di wilayah berkenaan ketika musim hujan. – AFP, 15 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen