KIRA-kira 300 orang lelaki bersenjata menyerang sebuah perkampungan di barat laut Nigeria dalam serangan balas dendam yang menyebabkan 10 orang terbunuh.
Dalam serangan itu, kenderaan dibakar dan ternakan penduduk kampung turut dicuri, kata polis.
Kumpulan berkenaan “menawan” perkampungan Kirtawa di Katsina pada Sabtu, bertindak menembak penduduk dan mencuri lembu ternakan, kata jurucakap polis Gambo Isah dalam satu kenyataan.
“Sepuluh orang terbunuh, lima lagi cedera,” kata Isah.
Penyerang terbabit turut membakar lima buah kenderaan dan empat buah motosikal selepas mencuri ternakan, katanya.
Polis berkata, kumpulan terbabit turut melepaskan tembakan ke arah polis yang tiba di lokasi, menembak tayar dan kenderaan perisai serta menyebabkan beberapa anggota pasukan keselamatan cedera, sebelum melarikan diri.
Serangan itu dipercayai sebagai “pembalasan” terhadap serangan sebelum ini oleh penduduk kampung ke atas kumpulan berkenaan, kata polis.
Negeri Katsina sering berdepan serangan kumpulan pencuri lembu menyebabkan penduduk menubuhkan kumpulan untuk mempertahankan diri. – AFP, 15 Julai, 2019
Komen