Kerajaan BN langgar undang-undang simpan duit GST dalam akaun lain


Chan Kok Leong

Peguam Negara Tommy Thomas berkata tindakan kerajaan Barisan Nasional memindahkan hasil GST ke dalam Akaun Hasil Disatukan melanggar objektif Seksyen 54 yang menjamin pembayar cukai mendapat bayaran balik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2019.

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) melanggar tugasnya sebagai pemegang amanah terhadap wang bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada pembayar cukai, kata Tommy Thomas.

Peguam negara berkata perbuatan memindahkan hasil GST ke dalam Akaun Hasil Disatukan adalah pelanggaran undang-undang dan prinsip.

“Ini adalah pelanggaran prinsip dasar amanah dan keperluan perakaunan amanah,” kata peguam negara kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen.

Beliau berkata amalan kerajaan sebelum ini yang mengkreditkan wang terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan itu bertentangan dengan Seksyen 7 Akta Prosedur Kewangan dan Seksyen 54 Akta GST.

“Tindakan ini melanggar objektif Seksyen 54 yang merupakan jaminan kepada pembayar cukai bahawa mereka akan mendapatkan bayaran balik sekiranya memenuhi syarat,” kata Thomas dalam surat kepada PAC bertarikh 9 Oktober 2018.

Thomas berkata walaupun kerajaan sebagai pemegang amanah adalah pemilik sah wang GST, ia tidak memiliki bahagian wang yang terhutang kepada pembayar cukai sebagai bayaran balik.

Beliau berkata undang-undang menghendaki kerajaan membayar balik pembayar cukai yang layak dalam tempoh 14 atau 28 hari bergantung kepada sama ada tuntutan dibuat secara elektronik atau manual.

Oleh itu, kerajaan bertugas wajib memastikan terdapat jumlah mencukupi untuk pembayaran balik dalam akaun ditetapkan dan berasingan.

“Kegagalan berbuat demikian dan membenarkan kekurangan sebanyak RM19.4 bilion, kerajaan secara jelas melanggar peranannya sebagai pemegang amanah.

“Ini bermakna jika mana-mana pembayar cukai GST, yang dinafikan bayaran balik, menyaman kerajaan, kerajaan tidak mempunyai bukti pembelaan dan pembayar cukai akan berjaya dalam litigasi,” kata Thomas.

Walaupun, Thomas tidak mengesyorkan sebarang tindakan jenayah, beliau mengakhiri surat tersebut dengan mengatakan ia adalah sesuatu yang boleh dipertimbangkan. – 15 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen