Agensi BN bantu kaum India ditadbir teruk, dedah laporan audit


Ragananthini Vethasalam

Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (Sedic) ditubuh Barisan Nasional untuk menjalankan program pembangunan sosio ekonomi orang India didapati ditadbir dengan teruk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2019.

AGENSI kerajaan yang ditubuhkan kerajaan Barisan Nasional dengan matlamat membantu komuniti India negara ini meluluskan dana berjumlah RM18.91 juta kepada 49 badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak memenuhi syarat pada 2017, dedah Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1.

Laporan menyebut yang Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (Sedic) mempunyai urus tadbir yang teruk dalam aspek pemberian dana yang dikhususkan kepada pembangunan kumpulan B40 orang India.

Laporan turut menyimpulkan yang Sedic tidak melakukan pemantauan dan meneliti pelaksanaan program NGO berkenaan.

Penilaian pelaksanaan program dilaksana NGO juga tidak dibuat dengan baik.

Selain itu, laporan turut mendedahkan pengurusan rekod Sedic yang teruk.

“Berdasarkan skop audit, boleh disimpulkan yang pelaksanaan program kurang memuaskan kerana tidak wujud penyimpanan rekod yang bersesuaian dan pangkalan data untuk menentukan hasil (program).”

Antara 2014 dan 2018, unit di bawah Jabatan Perdana Menteri itu menerima jumlah dana sebanyak RM203.89 juta.

Sedic juga gagal menyediakan fail berkaitan dana RM10.77 juta yang diberikan kepada 20 NGO untuk 23 program pada 2014 bagi tujuan audit.

Manakala 18 NGO lagi menerima dana RM8.13 juta.

Lima NGO dan sebuah pusat pembangunan kemahiran swasta pula berhutang kepada Sedic sebanyak RM2.86 juta kerana gagal mematuhi syarat dan terma Memorandum Persefahaman (MoU) masih belum membuat bayaran semula.

Laporan turut menyebut yang 35 NGO dan empat pusat pembangunan kemahiran tidak membuka akaun berlainan.

Enam NGO lagi yang sepatutnya melaksanakan enam program berjumlah RM2.93 juta menyerahkan aspek pelaksanaan kepada pihak ketiga. Pihak ketiga ini dibayar RM1.18 juta sebelum pelaksanaan program.

Laporan juga mendapati 15 NGO dan sebuah pusat pembangunan kemahiran membelanjakan peruntukan untuk tujuan lain yang tidak termasuk dalam skop program mereka yang sudah ditentukan. – 15 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen