INSIDEN ketaksuban agama baru-baru ini mendorong wakil rakyat mendesak Rang Undang-undang (RUU) Keharmonian Negara dan Rekonsiliasi di Dewan Rakyat menerusi RUU persendirian pada persidangan Parlimen akan datang yang bermula pada 23 Oktober ini.
RUU itu dicadangkan oleh Majlis Perundingan Perpaduan Negara (MPPN) pada 2014 kepada kerajaan, bersama dua lagi RUU, tetapi masih belum nampak hasilnya.
Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga bekas ahli majlis itu berkata beliau berharap untuk membangkitkan sekali lagi perkara itu di Parlimen dengan membentangkan RUU persendirian.
Langkah Mujahid itu selari dengan dua lagi bekas ahli majlis berkenaan – Pengerusi Kumpulan CIMB Nazir Razak dan Lee Lam Thye – yang turut melahirkan kebimbangan susulan semakin banyak kes membabitkan isu agama.
“Kami (Pakatan Harapan) sering membangkitkan su itu dalam perbahasan kami.
“Saya harap dapat membawanya menerusi RUU persendirian pada Dewan Rakyat akan datang. Tetapi ia mungkin satu perjalanan yang panjang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Naib presiden Amanah itu berkata ia akan bergantung pada speaker, sama ada RUU persendirian itu boleh dibentangkan atau tidak.
“Mana-mana ahli Parlimen boleh kemukakan tetapi speaker yang menentukan sama boleh terima atau oak. Jadi saya tidak tahu sama ada RUU saya akan dapat dibentangkan atau tidak.
“Ia boleh ditolak begitu saja tetapi saya akan sediakan drafnya. Saya akan berbincang bersama rakan PH yang lain.
“Jika kami berjaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya akan datang, sudah pasti akan mencadangkan tiga RUU yang dirangka oleh majlis perpaduan untuk dipertimbangkan dan digubal menjadi undang-undang dalam menangani diskriminasi, provokasi dan kebencian kaum dan agama,” katanya.
Mujahid satu-satunya ahli Parlimen pembangkang yang dilantik sebagai salah seorang daripada 30 anggota MPPN yang dilancarkan pada 2013 itu. Beliau masih ahli PAS ketika itu.
MPPN dilancarkan oleh Perdana Menteri Najib Razak untuk menangani pelbagai isu berkaitan polarisasi kaum dan agama, perpecahan dan diskriminasi, dalam usaha mencapai perpaduan negara.
MPPN juga merangka RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama untuk menjadikan ucapan kebencian sebagai satu jenayah, dan RUU Suruhanjaya Keharmonian Negara dan Rekonsiliasi pada 2014.
“Suruhanjaya itu bertujuan mengambil langkah progresif dalam mencapai keharmonian di Malaysia.
“Kami juga memastikan standard yang tinggi untuk beban bukti dalam mengambil tindakan terhadap pesalah,” kata Mujahid.
Majlis itu dibubarkan pada pertengahan 2016. Tidak ada satu pun daripada RUU itu yang sepatutnya menggantikan Akta Hasutan, berjaya digubal. Pentadbiran Najib kemudian mengukuhkan Akta Hasutan.
“Malang apa yang berlaku pada RUU MPPN. Tiga draf RUU itu adalah yang terbaik untuk Malaysia membendung isu perkauman,” kata Mujahid.
Perkembangan terkini di Malaysia yang menyentuh diskriminasi agama telah menyebabkan RUU Harmoni dan Rekonsiliasi dipertimbangkan semula oleh Putrajaya.
Dalam laman Instagramnya baru-baru ini, Nazir Razak menanyakan tentang rang undang-undang ini yang menghalang diskriminasi tidak adil berdasarkan kepada agama, bangsa, keturunan, tempat lahir, jantina dan ketidakupayaan.
Nazir yang juga adik kepada Perdana Menteri Najib Razak menulis: “Apa terjadi dengan rang undang-undang perpaduan negara ini? Kita perlu menjelaskan dan menggubal batas-batas yang boleh diterima tentang bagaimana kita berkait antara satu sama lain. Yang mana perkauman, yang mana tidak. Apakah pemisahan yang tidak boleh diterima, mana yang tidak. Barah asalnya kurang merbahaya, tetapi harus diatasi dengan segera.”
Minggu lalu, Nazir menulis selepas sebuah kedai dobi di Muar, Johor yang mencetuskan kontroversi selepas papan tanda ‘Islam sahaja’nya menjadi viral sehingga membawa kepada kritikan orang ramai yang tidak bersetuju dengan polisi kedai itu.
Bagimanapun, isu hangat itu terhenti sebaik saja Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengarahkan pemiliknya memohon maaf kepada rakyat Johor.
Sultan Ibrahim juga berkata Johor bukannya negeri Taliban dan mencadangkan pemilik kedai dobi itu berpindah ke Afghanistan jika mahu meneruskan polisi itu.
Seorang lagi bekas bekas MPPN, Lee Lam Thye, juga bersetuju Putrajaya harus mengkaji semula RUU Keharmonian Negara dan Rekonsiliasi selepas perkembangan baru-baru ini.
Beliau juga berharap ahli-ahli politik mendesak agar RUU itu dipertimbangkan.
“Saya harap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Joseph Kurup yang memegang portfolio perpaduan dan integrasi negara melihat hal ini… mungkin dapatkan bantuan Kabinet melihat semula RUU ini.
“Kami juga mahu ahli-ahli parlimen mainkan peranan mereka mendesak RUU ini di Dewan Rakyat sementara masyarakat awam suarakan pandangan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lee yang juga merupakan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata RUU ini harus diteruskan kerana beberapa kejadian yang mencetuskan ketegangan agama tidak bagus untuk Malaysia.
“Apabila RUU ini digubal, ada beberapa masalah yang MPPN fikirkan… masalah yang akan dibuat oleh pelampau agama yang tak boleh menerima kepelbagaian bangsa.
“Sekarang kita tahu keadian-kejadian yang dilaporkan di media. Mungkin ada kejadian lain yang tidak dilaporkan. Tujuan RUU ini adalah untuk menangani kejadian seperti ini.” – 2 Oktober, 2017.
Komen