KAD kredit atas nama Najib Razak digunakan di Itali, Hawaii dan Bangkok pada 2014 dan awal 2015 dengan nilai hutang hampir RM4 juta, mahkamah diberitahu hari ini.
Hutang itu kemudiannya dibayar dengan wang daripada akaun semasanya.
Saksi ke-47 pendakwaan, Yeoh Eng Leong yang merupakan naib presiden AmBank bertanggungjawab ke atas proses kebenaran kad kredit dan pengurusan penipuan, mengesahkan 10 transaksi berlaku- dua menggunakan kredit kad Visa Platinum dan lapan menggunakan kad Masterclass Platinum.
Belanja paling besar menggunakan kad kredit Najib adalah pelbagai caj berjumlah €750,000 pada 8 Ogos 2014 di sebuah kedai barangan kemas De Grisogono yang terletak di Itali. De Grisogono adalah jenama barangan kemas Swizertland.
LANGSUNG: Perbicaraan SRC International berkaitan Najib Razak hari ke-37
Pada 22 Disember 2014 pula, AS$130,627 (RM466,339) dicaj ke atas kad kredit Najib di kedai Chanel cawangan Honolulu, Hawaii.
Pada 13 Ogos 2014, hutang kad kredit sebanyak RM3,282,734.16 dibayar menggunakan akaun Ambank berakhir dengan nombor “880” milik Najib.
Keterangan Yeoh hari ini mengesahkan keterangan Pengurus AmBank R Uma Devi pada April lalu, bahawa RM449,586.95 dibayar untuk kad kredit Visa Platinum dan baki RM2,833,147.21 kepada kad kredit Mastercard Platinum.
Pada 5 Februari 2015, sebanyak RM466,330 pula dibayar kepada kad Visa daripada akaun berakhir dengan nombor “880” untuk perbelanjaan di kedai Chanel.
Wujud juga bayaran sebanyak RM127,017 untuk penginapan di Shangri-la Bangkok pada 4 Januari 2015.
Apabila ditanya Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed sama ada terdapat aduan mengenai transaksi tidak sah daripada Najib, Yeoh menjawab tidak ada.
Pertuduhan ke atas Najib adalah berkaitan pinjaman RM4 juta kepada SRC International, daripada jumlah itu beliau didakwa menerima RM42 juta ke dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.
Beliau berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan penggubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu diwakili sekumpulan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah. Manakala, pendakwaan diterajui Peguam Negara Tommy Thomas, manakala hakim bersidang ialah Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – 15 Julai, 2019.
Komen