BEKAS perdana menteri Najib Razak perlu disiasat kerana membenarkan kerajaan menggunakan wang bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk membiayai perbelanjaannya, kata ahli Parlimen DAP.
“Hakikat bahawa kerajaan sebelum ini mendepositkan wang ke dalam Akaun Hasil Disatukan terlebih dahulu berbanding akaun amanah khusus telah melanggar prinsip dasar amanah dan syarat perakaunan,” kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii.
Yii berkata perkara ini disahkan oleh peguam negara dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai wang bayaran balik RM19.4 bilion yang terhutang kepada pembayar cukai.
PAC membentangkan laporannya mengenai pembayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion hari ini dan menyimpulkan walaupun wang tidak hilang, kerajaan melanggar prosedur tertentu dan menggunakan wang tersebut untuk mengatasi kekurangan hasilnya.
“Peguam negara berkata kerajaan melanggar Akta GST dan tersasar daripada tujuan Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Yii, masalah itu akan berterusan sekiranya tiada perubahan kerajaan selepas pilihan raya umum yang lalu.
“... Najib yang tidak tahu malu mengakui isu itu akan diselesaikan jika kerajaan meneruskan GST dan tidak diberi pengurangan.
“Ini menunjukkan kerajaan terdahulu akan terus melanggar peraturan GST jika mereka terus mentadbir,” kata Yii.
Seorang lagi ahli Parlimen Khoo Poay Tiong juga menggesa agar siasatan jenayah dibuka berhubung perkara itu.
Ahli Parlimen Kota Melaka berkata laporan PAC mengesahkan wang pembayaran balik GST digunakan untuk tujuan kerajaan.
“Ini jelas wang itu dicuri kerana ia mengambil dan menahan wang daripada pembayar cukai secara paksaan.
“Melalui ini, kerajaan terdahulu dapat menikmati modal tanpa faedah dengan perbelanjaan pembayar cukai.”
Beliau berkata laporan itu menunjukkan Najib melanggar amanah pembayar cukai dan perkara itu wajar dilakukan siasatan jenayah. – 15 Julai, 2019.
Komen