Malang, ibu tunggal terpaksa bayar hutang bekas suami


Asila Jalil

Ibu tunggal bukan saja terpaksa menangani trauma emosional lepas bercerai, tetapi terpaksa membayar hutang bekas suami dan menanggung perbelanjaan anak sendirian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2017.

ANA pernah dipaksa menjual dadah untuk suaminya dan selepas 23 tahun menanggung seksa dibelasah, dia memutuskan untuk bercerai dan membawa lima anak mereka, bersamanya.

Tetapi bukan trauma emosional saja yang menyukarkannya untuk meneruskan hidup baru. Tetapi, wanita berumur 50 tahun itu baru tahu yang dia rupa-rupanya menanggung hutang suaminya kira-kira RM14,000.

Ana tidak tahu yang selama ini, bekas suaminya, seorang anggota polis meletakkan namanya bagi setiap hutang dibuat dan selepas mereka bercerai, beban itu kini terpaksa ditanggung Ana.

Kes Ana bukan terpencil. Menurut Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia (PITKM), dijangkakan ada sejuta ibu tunggal di semenanjung Malaysia.

Ramai yang membawa beban hutang daripada perkahwinan tetapi jumlah mereka yang terbabit sukar diperoleh kerana ibu tunggal enggan tampil bercakap mengenainya, kata Pengerusi PITKM Selangor Lizatul Akma Zulkifli.

Bukan saja mereka terpaksa membesarkan anak sendirian, wanita ini juga terpaksa membayar hutang yang dibuat oleh bekas suami.

Nasib mereka mendapat perhatian bulan lalu bila Perdana Menteri Najib Razak membangkitkannya pada dialog Transformasi Nasional 50 (TN50) sempena Hari Wanita di Kuala Lumpur pada 4 September.

Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia Selangor Lizatul Akma Zulkifli berkata masih ramai ibu tunggal enggan tampil bercakap mengenai isu terpaksa membayar hutang bekas suami. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2017.

Hutang bekas suami mereka itu juga menjadi masalah yang boleh menghalang pelan tindakan kerajaan 2020 untuk mengangkat taraf hidup ibu tunggal, kumpulan yang diklasifikasikan sebagai ekonomi paling lemah.

Dalam kes Ana, bank menyenaraihitamkan namanya kerana hutang itu. Dia tidak boleh dapatkan pinjaman mikro kredit untuk memulakan perniagaan bagi menampung kehidupan anaknya.

Suaminya malah ada membeli kereta menggunakan namanya tetapi dia sendiri tidak ingat ada menandatangani sebarang dokumen.

“Saya dimaklumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri yang saya perlu menanggung hutang bekas suami kerana cukai pendapatannya diletakkan di bawah nama saya.

“Dia ejen insurans dan mengisytiharkan cukai pendapatan daripada jualan insurans menggunakan nama saya. Jumlah keseluruhan ialah RM14,000.

“Saya cuba lunaskan hutang itu tetapi diarahkan membayar keseluruhan jumlahnya, tidak boleh secara ansuran,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya kecewa. Mana nak dapat RM14,000 sekelip mata,” katanya.

“Tidak adil saya yang terpaksa tanggung semua hutang itu. Saya besarkan anak sendirian. Saya mahu bangun semula tanpa dia tetapi saya terpaksa tanggung hutang dia. Apa salah saya? Saya cuba. Bukan saya tidak usaha, tetapi saya tersekat.”

Tiada pilihan

Pada masa ini, tidak ada pilihan untuk bantu wanita yang nasibnya seperti Ana, kata Lizatul.

“Sebagai NGO, kami tidak ada sumber untuk menyokong mereka secara kewangan tetapi kami boleh bertindak sebagai orang tengah untuk mencari mereka yang boleh menyediakan bantuan untuk ibu tunggal,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selepas Lizatul membangkitkan isu itu di dialog TN50, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Mastura Mohd Yazid menghubungi persatuan itu dan berjanji untuk membantu.

Dalam kes lain, ceti haram turut datang mengejar ibu tunggal untuk mengutip hutang bekas suami mereka.

“Rumah kami disimbah cat oleh ceti haram,” kata Siti Rahayu Mohd Ali.

Dia tidak tahu pun suaminya ada mengambil satu lagi hutang daripada ceti haram untuk membayar teksinya.

Bila itu berlaku, Siti tekad keluar daripada perkahwinan itu dan membawa empat anak mereka bersama.

Tetapi Siti terpaksa juga mengangkut sekali hutang bekas suaminya, yang berjumlah RM30,000 ketika mereka bercerai pada Disember tahun lalu.

Sudah hampir setahun bercerai tetapi Siti masih ada baki RM20,000 hutang yang belum berbayar, tanpa satu sen pun diberikan oleh bekas suaminya.

“Nasib baik sepupu saya bantu bayar ceti haram itu dulu jadi sekarang saya berhutang dengan sepupu, dan itu lebih baik kerana tidak ada bayaran bunga,” katanya.

Tidak ada jalan keluar

Pada masa ini tidak ada cara undang-undang untuk menghapuskan hutang itu, walaupun ia dibuat oleh suami, kata Penasihat PITKM Selangor Azmi A. Hamid.

“Mereka (bekas suami) hanya cuci tangan dan tidak ada saluran dan sumber untuk sokong ibu tunggal ini.

“Kalau ibu tunggal suarakan sekalipun, tidak ada sesiapa yang hendak tampil lindungi hak mereka,” katanya.

Pada masa ini, persatuan itu membantu ibu tunggal kembali berdikari menerusi sesi kaunseling dan memberikan mereka kursus yang boleh membantu mereka memperoleh pendapatan seperti menjahit atau memasak.

Azmi berkata PITKM Selangor sedang menyiapkan kertas cadangan komprehensif penyelesaian jangka panjang bagi isu dihadapi ibu tunggal dan berharap kerajaan akan mengambil serius terhadap cadangan mereka.

Buat masa sekarang wanita seperti Ana dan Siti tidak ada banyak cara untuk menghadapi masalah itu, tetapi terpaksa membayar hutang dibuat bekas suami, secara sedikit demi sedikit, dengan hati yang sakit.

“Saya harap cerita saya boleh mendorong ibu tunggal lain tampil dan berkongsi kisah mereka supaya kerajaan akan melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang melindungi wanita yang didera dalam perkahwinan,” kata Ana. – 4 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen