HARGA makanan laut akan terus meningkat kerana permintaan yang tinggi, bekalan yang rendah serta ditokok pula dengan nilai ringgit yang rendah, kata peniaga pasar basah.
Tiga faktor ini menyebabkan ikan kembung, yang dulunya makanan harian bagi keluarga berpendapatan rendah, kini jadi sajian mingguan.
Sekiranya nilai ringgit tidak mengukuh berbanding dolar Amerika dan mata wang serantau yang lain, harga ikan, udang dan sotong akan terus berlegar sekitar RM12 sekilo atau lebih, kata peniaga.
Harga ikan yang tinggi menyebabkan lebih banyak pengguna sekarang beralih kepada ayam, tambah mereka.
Namun peniaga ayam berkata permintaan yang tinggi untuk ayam turut mendesak harganya naik. Peniaga daging pula berkata permintaan untuk daging semakin menurun terutamanya kerana faktor kesihatan.
Tinjauan The Malaysian Insight di dua pasar basah dan sebuah pasar raya di Lembah Klang mendapati ikan kembung dijual pada harga sekurang-kurangnya RM14.99 sekilo, iaitu di pasar raya Giant di USJ, Subang Jaya, semalam.
Di pasar basah Pelabuhan Klang, sekilo ikan kembung sejuk beku dijual pada harga RM18 sekilo sementara ikan segar RM20 sekilo.
Di pasar Datuk Keramat, ikan kembung ais dijual antara RM14 hingga RM18 sekilo sementara yang segar RM18 sekilo.
Pada harga itu, pesara Mat Nazri Mat Din berkata beliau hanya mampu beli dua ekor ikan kembung dan seekor ikan bulu ayam di pasar Datuk Keramat minggu lepas.
“Ikan mahal betul saya tak nak beli banyak. Pasar Keramat pun mahal sekarang,” kata pesara berumur 67 tahun itu, ketika ditemui selepas beliau membeli barangan dapur di pasar itu.

Peniaga ikan Syed Agis Syed Ahmad berkata membayar lebih daripada RM14 sekilo untuk ikan kembung akan jadi “kebiasaan yang baharu” kalau nilai mata wang ringgit tidak pulih.
“Ini sudah berlaku sejak dua tiga tahun lepas. Kita beli ikan dari negara luar, harganya akan terjejas dengan nilai ringgit.
“Dan sekarang ini ringgit lemah,” kata Syed Agis, yang sudah menjual ikan di pasar Datuk Keramat sejak 30 tahun lalu.
Kebiasaan yang baharu
Menurut kajian terbaru Jabatan Statistik mengenai harga barangan runcit, pada Mei, purata harga ikan kembung ialah RM14.24 sekilo. Di Selangor, purata harganya ialah RM15.05 sekilo sementara di Kuala Lumpur RM16.32.
Harga ikan kembung paling murah ialah di Sabah. Di negeri itu, ia dijual RM8.08 sekilo. Harganya yang paling mahal pula ialah di Terengganu – negeri nelayan – iaitu RM18.11 sekilo.
Bagi Syed Agis, harga itu tidak mengejutkan kerana ikan yang dijual di Malaysia kebanyakannya ikan import.
“Nelayan kita tangkap tak cukup. Kadang-kadang kita dapat dari Perak dan Perlis. Tetapi selalunya dari Sabah, Indonesia dan Thailand,” katanya.
Penjual ikan Loong yang berniaga di pasar Pelabuhan Klang berkata, nilai ringgit yang merosot berbanding baht Thailand menyebabkan ikan kembung jadi lebih mahal berbanding harganya tiga tahun lalu.
“Dulu RM1 sama dengan 10 baht. Sekarang RM1 jadi 8 baht. Itu sebabnya ikan kita mahal,” katanya.
Kontraktor Amri Ahmad, 37, berkata harga ikan kembung yang tinggi menyebabkan beliau sekarang beli lebih banyak ayam walaupun sekali sekala keluarganya makan ikan juga.
“Saya masih beli ikan sebab mana boleh nak makan ayam dan daging tiap-tiap hari. Walaupun mahal, saya beli sama banyak macam itu juga,” katanya.
Penjual ayam Johari Ramli pula berkata harga ayam tinggi walaupun bekalannya banyak di negara ini kerana orang beralih makan lebih banyak ayam.
“Semasa musim raya, harganya ditetapkan RM5.99 sekilo. Selepas habis harga kawalan, harganya naik sampai antara RM7.50 ke RM8 sekilo,” katanya.
Ayam yang sudah dibersihkan dijual pada RM5.99 sekilo di pasar raya di USJ pada 14 Julai tetapi Johari menegaskan pembeli di pasar basah membayar ayam segar.
“Ayam di pasar raya itu ayam beku. Kami di pasar sembelih ayam setiap hari. Ini ayam segar.” – 21 Julai, 2019.
Komen