JAIKUMAR Jabalan menunjukkan sebungkus beg plastik merah kecil berisi sayur bernilai RM10 dengan rasa sungguh tidak puas hati.
“Tiga tomato, tiga kentang dan dua timun. Itu saja yang saya dapat dengan RM10. Dan ini hanya untuk masakan hari ini,” katanya yang menyediakan makanan untuk tiga orang dalam keluarganya.
“Harga turun sikit ketika musim Hari Raya Aidilfitri, tetapi kemudian naik semula,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui bersama isterinya di pasar basah Pelabuhan Klang semalam.
Sentimen pasangan itu dikongsi oleh banyak pengguna lain di Lembah Klang yang menyaksikan penurunan seketika harga kos makanan ketika sambutan Hari Raya.
Pengguna di media sosial mendakwa kawalan harga yang diperluaskan ketika musim Hari Raya menyebabkan harga barangan harian seperti ayam, daging dan sayur tertentu lebih rendah berbanding tahun lalu.
Tetapi selepas sebulan berlaku sambutan Hari Raya, harga barangan ini terutama ikan dan ayam naik semula.
Peniaga dan pembeli mengesahkan perkara itu, berkata berakhirnya tempoh kawalan harga menyebabkan harga untuk ayam dan daging serta tomato terutamanya, naik dua kali ganda dalam tempoh sebulan.
Ikan kembung yang dulunya makanan untuk kebanyakan golongan kelas bekerja dalam kalangan keluarga di Malaysia, kini dianggap sebagai makanan mewah untuk hujung minggu saja bagi pengguna di Lembah Klang.
Menurut kajian terkini Jabatan Statistik tentang harga barangan, pada Mei, purata harga negara untuk ikan ialah RM14.24 sekilogram.
Dalam tinjauan TMI di dua pasar basah dan satu pasar raya besar di Lembah Klang, sekilogram ikan kembung antara RM14 dan RM20 sekilogram.
Bagi seekor ayam, yang harga silingnya RM5.99 per kg selama 30 hari ketika tempoh Hari Raya, kini naik antara RM7.50 dan RM8 sekilogram di pasar basah, sementara kedai runcit dan pasar mula menjualnya pada RM9 sekilogram. Di pasar raya besar USJ, ia dijual RM5.99 sekilogram.
Antara 10 pengguna yang ditemu bual sepanjang minggu lalu, Mohd Hafiz Jamain saja berpendapat harga kekal turun selepas Hari Raya.
“Sebungkus mi Maggi enam pek sekarang RM4, sedangkan dulu antara RM5 dan RM6,” katanya ketika ditemui di pasar raya besar USJ.
“Di kedai runcit di Taman Medan, saya dapat enam ikan kembung besar pada harga RM5. Segar,” katanya yang bekerja sebagai kerani.
“Sebenarnya saya rasa harga lebih baik selepas Hari Raya.”
Menulis di Facebook pada 9 Jun, Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memberitahunya tentang harga makanan segar tertentu menurun tahun ini berbanding tahun lepas.
Antara 29 Mei dan 19 Jun, sebanyak 27 barangan – ayam, daging lembu, telur, tomato, kelapa dan cili kering – dikenakan harga siling sepanjang tempoh Hari Raya.
Sebagai tambahan, 14 barangan diletakkan di bawah senarai harga kawalan untuk sambutan Kaamantan dan Hari Gawai.
Post Saifuddin itu menerima 70 respons dan kebanyakannya berkata barangan itu dijual pada bawah harga siling.
Mohd Ab Rahman berkata beliau membayar RM30 sekilogram daging lembu di Terengganu, sehari sebelum Hari Raya.
“Tahun lepas RM34 dan tahun sebelumnya RM32. Saya harap tahun depan RM28. Tahniah datuk menteri.” – 21 Julai, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen