8 maut dalam festival dikejar lembu di Sepanyol


Festival San Fermin selama sembilan hari di Sepanyol diadakan sejak zaman pertengahan menampilkan konsert, upacara keagamaan, tarian, minum arak dan kemuncaknya dikejar lembu. – Gambar EPA, 15 Julai, 2019.

RIBUAN orang ramai menyalakan lilin dan mengibarkan skarf merah di udara sambil menyanyikan lagu sedih sebagai mengakhiri festival kejar lembu paling popular di Sepanyol, yang mengorbankan lapan orang tahun ini.

Festival San Fermin selama sembilan hari itu, diadakan sejak zaman pertengahan dulu, menampilkan konsert, upacara keagamaan, tarian beramai-ramai dan minum arak.

Tetapi kemuncak festival itu ialah ujian keberanian dengan lari dikejar lembu bertanduk tajam.

Setiap pagi, ratusan peserta dengan kebanyakan berbaju putih dengan selendang merah, menguji kekuatan dan keberanian mereka dikejar enam lembu besar di sekitar jalan-jalan sempit di bandar Pamplona, utara Sepangol.

Yang paling berani akan berlari sekuat hati di depan tanduk haiwan itu sebelum mencelah ke bahagian tepi yang memisahkan lembu dengan pelari, sambil disaksikan ribuan pengunjung dari seluruh dunia di sepanjang laluan itu.

Dua rakyat Australia berumur 27 dan 30 tahun, selain rakyat tempatan berusia 25 tahun maut ketika acara final larian itu semalam, susulan seekor lembu terpisah daripada kawanannya dan meluru ke arah orang ramai yang berada di depannya.

Tiga lelaki itu cedera di ketiak, lengan dan kaki akibat tanduk lembu.

Lembu yang tertinggal biasanya keliru dan mula menyerang orang ramai.

Pada penghujung festival itu, seekor lembu merempuh peserta, Jaime Alvarez, 46, peguam dari San Francisco. Dia cedera ketika cuba merakamkan video selfie dengan telefon bimbit.

Selain lapan maut, 27 yang lain dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat patah tulang dan lebam ketika dikejar lembu.

Kira-kira 500 yang lain dirawat di tempat kejadian kerana kecederaan ringan, kata Palang Merah. – AFP, 15 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen