PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron mempamerkan kerjasama ketenteraan Eropah pada perarakan Hari Bastille tetapi pasca acara penuh gemilang itu, tercemar dengan pertempuran ganas antara polis dan penunjuk perasaan.
Pemimpin utama Kesatuan Eropah (EU) termasuk Canselor Jerman Angela Merkel dan Perdana Menteri Belanda Mark Rutte menyertai Macron di Paris untuk menyaksikan perarakan tahunan yang termasuk wakil tentera sembilan negara Eropah yang lain, dalam satu persembahan perpaduan.
Tetapi sambutan hari kebangsaan Perancis itu disusuli dengan pertembungan yang tercetus antara penunjuk perasaan anti kerajaan dan polis di mana keganasan itu dilihat sebagai puncak gerakan protes “jaket kuning” awal tahun ini.
Polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan di kawasan ikonik Champs-Elysees, di mana orang ramai yang menyaksikan perarakan itu dan pelancong yang terkejut, mencari perlindungan.
Polis Paris berkata 180 individu ditahan, dan 25 disoal siasat sebelum dibebaskan sementara 13 masih dalam tahanan.
Penunjuk perasaan melanggar pengadang keselamatan, membakar tong sampah dan tandas bergerak, serta melaungkan slogan anti kerajaan mendesak Macron meletak jawatan, sebelum keadaan kembali tenang.
Perarakan sebelum itu turut berjalan lancar ketika 4,300 anggota tentera berbaris masuk kawasan terkenal itu sebagai sebahagian tradisi sejak selepas perang dunia pertama. – AFP, 15 Julai, 2019.
Komen