26 maut dalam serangan hotel di Somalia


Hotel Media di Kismayo, Somalia menjadi sasaran militan Al-Shabaab menyebabkan 26 terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri. – Gambar AFP, 15 Julai, 2019.

SERAMAI 26 terbunuh dan 56 cedera dalam serangan selama 12 jam dilakukan militan Al-Shabaab di hotel popular di bandar pelabuhan Kismayo di Somalia.

Pengebom bunuh diri memandu sebuah van yang penuh bahan letupan dan merempuh hotel Media pada lewat Jumaat sebelum sekumpulan lelaki bersenjata menceroboh masuk, menembak sesuka hati, kata pihak berkuasa.

Ia serangan tersusun terbesar dilakukan oleh Shabaab di Kismayo sejak 2012 apabila ia hilang kawalan terhadap bandar itu.

Mangsa termasuk beberapa warga asing dan wartawan terkemuka Somalia Hodan Nalayeh, yang maut bersama suaminya.

Tiga warga Kenya, tiga Tanzania, dua Amerika Syarikat, masing-masing seorang dari Britain dan Kanada antara yang maut, kata Presiden Ahmed Mohamed Islam pada sidang akhbar.

“Ada dua warga China yang cedera,” katanya.

Hotel itu penuh dengan kunjungan ahli politik dan ahli perniagaan terkemuka berikutan mesyuarat tentang pilihan raya presiden akan datang sedang dikendalikan di Jubaland.

Salah seorang calon pilihan raya itu maut dalam serangan, kata pihak berkuasa. – AFP, 15 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen